Jangan undi calon tidak berguna – Ramanan

Jangan undi calon tidak berguna – Ramanan

SIMPANG RENGGAM: Pengundi diingatkan supaya tidak terus memberi mandat kepada wakil rakyat yang gagal menunaikan tanggungjawab, sebaliknya memilih calon yang mampu membawa pembangunan serta menyelesaikan masalah rakyat.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pengundi perlu membuat keputusan yang tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini kerana keputusan itu akan menentukan hala tuju kawasan dan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, rakyat perlu menilai prestasi wakil rakyat berdasarkan pencapaian serta kemampuan mereka menyelesaikan isu di kawasan, bukannya kepada retorik politik semata-mata.

“Yang tak guna janganlah kita undi. Yang ada guna, kita undi,” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Johor ke depan undi Harapan di tapak parkir bersebelahan McDonald’s Simpang Renggam, malam ini.

Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan setiap isu rakyat dapat diselesaikan dengan lebih pantas serta berkesan.

Katanya, calon Pakatan Harapan (PH) mempunyai akses terus kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri bagi memudahkan urusan mendapatkan kelulusan serta pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

“Pelbagai inisiatif seperti bantuan kepada usahawan, perlindungan sosial untuk pekerja Johor-Singapura dan pembinaan rumah mampu milik telah dan serta sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, saya berharap pengundi menggunakan peluang pada hari pengundian untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu berkhidmat demi kesejahteraan penduduk dan kemajuan negeri Johor,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top