Scaloni sedia turunkan Messi lawan Cape Verde

Scaloni sedia turunkan Messi lawan  Cape Verde

Miami: Lionel Scaloni mempertahankan kepelbagaian serangan Argentina menjelang aksi kalah mati pertama mereka di Piala Dunia menentang pasukan penuh kejutan, Cape Verde di Miami pagi esok.

Jurulatih itu menegaskan beliau langsung tidak bimbang dengan beban jaringan yang dipikul Lionel Messi meskipun penyerang veteran itu sudah menjaringkan enam gol sepanjang peringkat kumpulan.

Argentina akan mempertaruhkan rekod kemenangan sempurna mereka apabila berdepan pendatang baharu kejohanan, Cape Verde dalam aksi pusingan 32 terbaik yang dijangka sengit di Miami.

Skuad penuh deretan bintang kendalian Scaloni menjuarai Kumpulan J dengan tiga kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Jordan 3-1 di Dallas.

Walaupun lawan mereka dari Afrika mara hasil tiga keputusan seri berturut-turut, juara dunia itu enggan memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi apabila kejohanan kini memasuki fasa kalah mati.

Bercakap kepada media di Fort Lauderdale, Scaloni menjawab persoalan mengenai kesiapsiagaan pertahanan pasukannya dan dakwaan bahawa Argentina terlalu bergantung kepada kapten mereka sepanjang peringkat kumpulan.

Beliau mempertahankan sistem permainannya sambil mengakui beliau mahu lebih ramai pemain menyumbang gol namun kemenangan pasukan tetap menjadi keutamaan.

Scaloni berkata ‘kami berada dalam keadaan baik dan pastinya teruja seperti semua orang. Kami menghormati lawan kerana mereka melakukan banyak perkara dengan baik.

“Ruang untuk melakukan kesilapan kini semakin kecil. Siapa yang kalah akan pulang. Kami sedar perkara itu tetapi kami berada pada waktu yang tepat.

“Ini adalah bola sepak dan perlawanan kini sangat seimbang. Selain Perancis atau Mexico yang menang dengan agak selesa, kebanyakan perlawanan lain berlangsung sengit. Ia tidak akan menjadi mudah. Itulah realitinya.

“Messi sudah bermain dalam pelbagai keadaan bersama kami, jadi saya menjangkakan dia akan diturunkan. Ia bergantung kepada perlawanan dan dirinya sendiri.

“Sangat sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku. Kami mempunyai peluang yang turut hadir kepada pemain lain tetapi Leo yang juga salah seorang penyerang kami, berjaya menjaringkan gol-gol terbabit.

“Ia bukan sesuatu yang membimbangkan. Saya mahu jaringan dikongsi oleh lebih ramai pemain tetapi selagi pasukan bermain dengan baik dan menang, semuanya baik-baik sahaja.”

Kuasa besar Amerika Selatan itu perlu mencari jalan untuk memecahkan benteng pertahanan rendah Cape Verde yang sebelum ini berjaya menyukarkan Sepanyol dan Arab Saudi pada peringkat kumpulan.

Berdepan negara yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia dan masih belum tewas dalam kejohanan ini, Scaloni menggunakan sidang medianya untuk mengupas kekuatan lawan, khususnya dari aspek organisasi pertahanan dan ancaman serangan balas.

Beliau berkata ‘Cape Verde belum lagi tewas. Mereka malah layak memenangi perlawanan menentang Arab Saudi. Mereka sedikit tertekan ketika menentang Sepanyol dan Uruguay tetapi mereka bertahan dengan baik.

“Mereka menutup ruang hantaran di kawasan tengah dengan berkesan dan sangat berbahaya menerusi serangan balas. Mereka mempunyai pemain yang berkualiti dari segi teknikal. Kami lihat mereka adalah sebuah pasukan yang baik.

“Akhirnya mereka berjaya mara dan itu tidak mengejutkan kami. Mereka tidak berada di sini secara kebetulan. Kami perlu menghormati mereka dan itulah yang akan kami lakukan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top