Toronto: Cristiano Ronaldo mencetuskan satu detik mencuit hati dalam aksi Portugal menentang Croatia apabila sepakan percumanya terkena tepat pada bahagian sulit pertahanan lawan, Marin Pongracic.
Insiden itu berlaku ketika Portugal memperoleh sepakan percuma dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 dengan Ronaldo berusaha mencari gol pembukaan buat pasukannya.
Bagaimanapun, percubaan bintang berusia 41 tahun itu gagal melepasi benteng pertahanan Croatia.
Sebaliknya, bola yang dilepaskan dengan kuat terkena tepat pada Pongracic yang melompat untuk menghalang sepakan tersebut.
Pemain pertahanan Croatia itu serta-merta kelihatan menahan kesakitan dan mengambil masa untuk memulihkan keadaan sebelum perlawanan diteruskan.
Croatia bernasib baik apabila Pongracic mampu meneruskan aksi meskipun jelas tidak selesa selepas menerima hentaman kuat itu.
Rakaman insiden berkenaan pantas tular di media sosial dengan ramai penyokong bola sepak memberikan reaksi lucu serta bersimpati terhadap pemain berusia 29 tahun itu.
Seorang pengguna menulis ‘Marin Pongracic terkena sepakan percuma Cristiano Ronaldo di tempat paling menyakitkan yang boleh dibayangkan.”
Seorang lagi berkata ‘itu pasti sakit. Sepakan percuma Ronaldo pada kuasa penuh terkena tepat pada bahagian sulitnya.”
Pengguna ketiga hanya mampu menulis ‘oooof.’
Manakala seorang lagi menyindir ‘semua lelaki yang menonton pasti berkata ‘ooooooo’
Walaupun gagal menghasilkan gol menerusi sepakan percuma itu, Ronaldo tetap memainkan peranan penting apabila menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk membantu Portugal mencatat kemenangan 2-1 dan mara ke pusingan 16 terbaik.
Kemenangan itu menghidupkan impian Portugal untuk terus memburu gelaran Piala Dunia pertama dalam sejarah mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




