BRUSSELS: Sebanyak 1.7 juta satelit yang dirancang beberapa syarikat untuk dilancarkan ke orbit bumi dalam beberapa tahun akan datang akan membawa kesan yang memusnahkan bidang astronomi, menurut satu kajian baharu.
Menurut Balai Cerap Selatan Eropah (ESO), rancangan untuk memenuhi orbit bumi dengan sejumlah besar satelit yang sangat terang itu merupakan ancaman kepada kewujudan teleskop yang memerhati alam semesta.
Bagi memastikan manusia terus berupaya meneroka langit malam dengan berkesan, pasukan penyelidik menetapkan hanya 100,000 satelit yang mengorbit bumi.
Kajian itu adalah yang pertama dilakukan untuk menentukan sejauh mana gugusan satelit bersaiz besar dan sangat terang akan menjejaskan pemerhatian astronomi. Kajian itu juga dilakukan bagi menentukan sama ada jumlah satelit tersebut boleh menyebabkan langit malam menjadi lebih cerah.
Kini terdapat 14,000 satelit yang mengorbit bumi. Sebahagian besarnya merupakan satelit rangkaian internet Starlink milik bilionair Elon Musk.
Syarikat SpaceX milik Musk mengumumkan rancangan untuk melancarkan lebih sejuta satelit menjelang 2028 yang akan berfungsi sebagai pusat data bagi menyokong ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Apabila sebuah satelit melintasi kawasan yang sedang kami perhatikan, ia menghasilkan jalur cahaya terang dan menghilangkan apa sahaja yang berada di belakangnya,” kata ahli astronomi ESO, Olivier Hainaut yang mengetuai kajian yang diterbitkan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics. – AFP




