am@hmetro.com.my
Jelebu: Dua sahabat maut apabila motosikal ditunggangi melanggar kerbau melintas di di Kilometer 11 Jalan Lakai-Simpang Durian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jelebu Superintendan Azizan Said berkata, kejadian jam 3 pagi itu membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa berusia 17 dan 19 tahun.
Katanya kedua-dua mangsa dipercayai dari arah pekan Simpang Durian menghala ke Lakai dan melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa parah di kepala dan dihantar ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun kedua-dua disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 4.05 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 289 Kanun Keseksaan (kecuaian berkenaan dengan haiwan dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 (binatang peliharaan dibiarkan bebas berkeliaran di atas jalan raya).
:Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Sub Inspektor Abas Mohamed di talian 010-8649229 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Kharizal Hamzah, 47, bapa saudara Allahyarham Muhammad Aidil Zafuan Sameon, 19 berkata, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya jam 9 malam semalam sebelum mengikuti rombongan ke Terengganu.
Bagaimanapun, dia dihubungi ahli keluarga jam 3 pagi memaklumkan kemalangan berkenaan.
“Sebelum bertolak, Allahyarham ada berjumpa saya, sempat dia peluk dan bertanya ingin ke mana.
“Allahyarham memang rapat dengan keluarga kami terutama anak kedua.
“Tidak sangka pertemuan malam tadi adalah pertemuan terakhir dan saya sangat terkejut dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jelebu, hari ini.
Kharizal berkata sebaik diberitahu mengenai tragedi berkenaan, dia bergegas pulang bersama isteri menaiki penerbangan dari Kuala Terengganu.
Seorang lagi yang maut dikenali sebagai Muhammad Faisal Fauzan Faizal, 17.
Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lakai.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lakai Mohd Shahrir Ramli berkata, aduan mengenai kerbau di jalan raya berkenaan sudah banyak kali dibuat kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan tegas yang diambil.
Katanya, sebelum ini pernah ada penduduk kampung nyaris kemalangan akibat tindakan pemilik yang melepaskan kerbau ke laluan utama.
“Malah haiwan itu juga kerap menceroboh tanah milik Orang Asli berhampiran dan aduan sama juga sudah dibuat oleh penduduk setempat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




