Arlington: Penjaga gol Australia, Patrick Beach, mendedahkan dia langsung tidak dimaklumkan mengenai keputusan mengejut menukarnya sebelum penentuan sepakan penalti ketika aksi menentang Mesir, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap pendekatan taktikal ketua jurulatih Tony Popovic.
Australia tewas 2-4 menerusi penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik di Dallas.
Beach, 22, yang bermula sebagai penjaga gol utama sepanjang kejohanan, berkata dia hanya mengetahui mengenai pertukaran itu pada saat akhir.
“Saya tahu pada masa sama anda semua tahu. Ada perancangan, tetapi kami tidak dimaklumkan lebih awal,” katanya kepada media Australia.
Keputusan Popovic membawa keluar Beach pada penghujung masa tambahan untuk digantikan dengan kapten Mathew Ryan, bagaimanapun gagal membuahkan hasil apabila Ryan tidak melakukan sebarang penyelamatan dalam penentuan penalti.
Ryan turut mengesahkan dia tidak dimaklumkan sebelum perlawanan.
“Tidak, saya tidak diberitahu sebelum perlawanan,” katanya.
Langkah itu mengundang persoalan daripada bekas pemain dan penganalisis, termasuk Mark Bosnich yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai mengejutkan, manakala Mark Schwarzer menegaskan penjaga gol yang sedang beraksi sepatutnya kekal di atas padang.
Bekas pemain Socceroos, Robbie Slater, pula menyifatkan keputusan itu sebagai kegagalan struktur kejurulatihan, dengan menegaskan Beach beraksi cemerlang sepanjang kejohanan.
Slater turut mengkritik keputusan menurunkan Lucas Herrington, 18, sebagai penendang penalti apabila rembatannya terkena palang.
“Ini tidak sepatutnya diletakkan di bahunya,” katanya.
Popovic mempertahankan keputusan berkenaan dengan alasan pengalaman Ryan dalam situasi penalti menjadi faktor utama.
“Kami percaya pengalaman Maty boleh memberi perbezaan,” katanya sambil menegaskan dia tetap bangga dengan usaha pemain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




