BATU PAHAT: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin didakwa lebih kuat berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Onn Hafiz seharusnya mempunyai sikap keberanian sama seperti bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu.
“Saya lihat Khairy seolah-olah berkempen lebih kuat daripada Onn Hafiz dan silap-silap beliau bersedia untuk berdebat dengan Dr Maszlee Malik (calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa).
“Alangkah baiknya Onn Hafiz mempunyai keupayaan dan kewibawaan seperti Khairy. Sepatutnya semangat Khairy itu dipunyai Onn Hafiz,” katanya ketika ditemui selepas Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Istana, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau bimbang dengan kenyataan Datuk Nazifuddin Mohd. Najib yang mengaitkan PRN Johor dengan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“PRN Johor adalah untuk menentukan kepimpinan negeri tetapi kenyataan beliau itu agak mengejutkan, saya percaya ia membuka mata ramai orang dan kita tidak keluar mengundi kerana apa-apa hal peribadi, ini adalah untuk rakyat, masa depan Johor.
“Saya sedikit risau dengan kenyataan beliau dan saya percaya ramai dalam kalangan rakyat memahami apa yang perlu dilakukan,” katanya.-UTUSAN




