FIFPRO desak tindakan segera lindungi pemain

FIFPRO desak tindakan segera lindungi pemain

Miami: Persekutuan Pemain Bolasepak Profesional Dunia (FIFPRO) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes penderaan yang dihadapi pemain pada kempen Piala Dunia 2026, termasuk serangan berunsur perkauman dan diskriminasi di media sosial serta secara bersemuka.

Ketika kejohanan memasuki pusingan 16 terbaik, FIFPRO menggesa tindakan segera dan kerjasama semua pihak bagi melindungi pemain daripada ancaman yang semakin membimbangkan susulan liputan media serta kekecewaan penyokong apabila pasukan masing-masing tersingkir.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pemain menjadi sasaran penderaan di media sosial dan secara bersemuka, dengan sebahagian besarnya berunsur perkauman serta diskriminasi.

“Insiden ugutan dan permusuhan kini melangkaui aksi di atas padang. Kejadian ini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya mencerminkan masalah sistemik yang tidak boleh terus dianggap sebagai sebahagian daripada bola sepak atau masyarakat,” menurut FIFPRO dalam satu kenyataan.

Kesatuan itu menegaskan pemain memikul harapan seluruh negara, namun perkara itu tidak sepatutnya mengorbankan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mereka.

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan Perkhidmatan Perlindungan Media Sosial (Social Media Protection Service) merekodkan peningkatan 13 kali ganda kes penderaan dalam talian sepanjang peringkat kumpulan kejohanan, dengan 11 peratus daripadanya bermotifkan perkauman.

Pada pusingan kalah mati, tiga pemain Belanda, Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville, menjadi mangsa kecaman berunsur perkauman di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukan mereka tewas kepada Maghribi pada pusingan 32 terbaik.

FIFPRO turut menegaskan pasukan kebangsaan adalah lanjutan kepada tempat kerja pemain dan mereka berhak menerima perlindungan sewajarnya.

“Walaupun pelbagai langkah sudah diambil, semua pihak berkepentingan dalam bola sepak bersama sektor awam dan swasta perlu memperhebat usaha kerana pemantauan serta pelaporan semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku atau mengelakkan kemudaratan.

“Individu yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas, manakala agensi penguat kuasa, platform media sosial, media, penyokong dan masyarakat perlu berganding bahu bagi membendung perkara membimbangkan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top