JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung bebanan hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mencecah hampir RM1 bilion setahun akibat kelemahan pengurusan pentadbiran sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tanggungjawab melunaskan komitmen kewangan itu kini terpaksa digalas pentadbiran beliau bagi memastikan kelangsungan serta kebajikan warga peneroka tidak terjejas.
Beliau berkata, Felda pada suatu masa dahulu diuruskan dengan amat baik, namun mula mengalami kerosakan setelah bertukar pengurusan sehingga memberi kesan mendalam kepada institusi berkenaan dan peneroka.
“Tiap tahun saya kena bayar hutang hampir RM1 bilion. Apa salah peneroka? Dari zaman Raja Alias (bekas Pengerusi Felda Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali), diurus dengan baik. Kemudian datang yang lain, rosak. Yang kena bayar peneroka, kerajaan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian pada program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau di sini malam ini.
Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyuarakan keyakinan tinggi terhadap masa depan negeri “Harimau Selatan” itu yang dipacu oleh perancangan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini dalam proses pelaksanaan.
Beliau berkata, kedudukan geografi dan potensi besar dimiliki Johor meletakkan negeri berkenaan pada landasan terbaik untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga di peringkat serantau.
Perdana Menteri turut mengulangi keyakinan beliau bahawa Johor berpotensi menjadi seperti bandar ekonomi Shenzhen di China.
Bagaimanapun, beliau berkata, di sebalik kerancakan projek berimpak tinggi oleh Kerajaan Persekutuan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART), nasib golongan marhaen tidak diabaikan.
Anwar berkata, kemajuan fizikal dan limpahan pelaburan bernilai berbilion ringgit akan hilang maknanya sekiranya masih terdapat rakyat di kawasan pinggir serta luar bandar yang terhimpit dalam kedaifan.
Pengerusi PH itu berkata, perubahan perlu dilakukan di peringkat kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembelaan nasib rakyat miskin sentiasa menjadi keutamaan.
“Tanggungjawab kita, Johor mesti lakukan perubahan. Negeri ini maju, potensinya besar, tetapi yang perlu adalah beberapa perubahan supaya lebih prihatin terhadap orang yang susah,” kata beliau.
Program dialog itu merupakan sebahagian daripada pengisian siri jelajah padat Anwar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, membabitkan tujuh lokasi di seluruh negeri hari ini.
Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 daripada DAP.
Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. – Bernama



