norhayati_nordin@hmetro.com.my
KONSERT Biru Mata Hitamku bakal menjadi paksi gabungan empat pemuzik ‘otai’ apabila akan berkongsi aksi di atas satu pentas bagi meraikan 30 tahun ‘anniversary’ ikatan persahabatan mereka.
Bersandarkan judul album dan lagu Biru Mata Hitamku yang diterbit pada 1996, ia diakui JoBranko selaku pemain gitar, Mus (vokalis), Eddie (pemain bass) dan Black (pemain dram) sebagai nostalgia indah.
JoBranko meyifatkan Konsert Biru Mata Hitamku adalah satu babak penting kumpulan Wings ketika dia bersama Muss, Eddie dan Black terbabit dalam pembikinan album ikonik itu pada 1996.
“Apatah lagi, sampai sekarang lagu Biru Mata Hitamku ini diminati ramai dan ‘evergreen’ di hati peminat-peminat kami, selain mengenang kembali pencapaian pernah diraih bersama dulu.
“Antaranya, Biru Mata Hitamku pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL), dinobatkan sebagai Kulit Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1996. Jadi, memang sangat nostalgia,” katanya.
Menurut JoBranko, lagu lain seperti Makam Kekasih, Jika Kau Tahu, Gegar Gunung Gemora, Satu Titik Yang Kosong dan Enigma yang juga dimuatkan dalam album berkenaan sehingga kini menjadi kegemaran peminat kerana kekuatan lirik tersendiri.
Ditanya pemilihan nama konsert yang tidak dikaitkan dengan ‘band’, JoBranko menjelaskan dia suka mewujudkan ‘trendsetter’ iaitu tidak pernah dilakukan pihak lain seiring cita-cita dan impian.
“Konsert ini yang pertama, tiada nama ‘band’ dan saya tidak suka buat benda-benda orang lain sudah buat. Saya suka dengan cita-cita dan impian hendak buat benda yang menetapkan ‘trend’ dan bukan mengikut.
“Pada saya, konsep baharu macam ini satu sisi yang orang mungkin jarang nampak untuk kita kembalikan nostalgia lama 1996 itu semula yang menggabungkan kami berempat sahaja,” katanya.
Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun ‘Anniversary’ dibawakan Icon Entertainment bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 5 September depan.
Difahamkan, ramai penganjur berminat merealisasikan Konsert Biru Mata Hitamku, tetapi empat pemuzik otai ini enggan bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan.
Ia dijangka bakal berlangsung hampir tiga jam dengan lebih 20 lagu akan dipersembahkan.
Sementara itu, Eddie berkata, mereka mendapat banyak permintaan daripada peminat selain tawaran penganjur yang berminat untuk membuat konsep seperti Konsert Biru Mata Hitamku.
“Sebenarnya, ada empat atau lima penganjur nak berjumpa kami untuk buat konsep sama begini. Tetapi, saya kata nanti dulu sebab Jo ketika itu sibuk dengan Barbarik, jadi kita biarkan.
“Saya pun terbabit sekali dengan Barbarik bersama Black dan Mus. Namun, benda ini Jo kata kita akan buat dan diusahakan kalau ada masa sesuai.
“Kali ini rasanya masa paling sesuai sudah tiba dan konsert berskala besar ini perlu dirancang dengan sebaik-baiknya untuk meraikan peminat yang mungkin sudah lama bersama mereka kira-kira 30 tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, JoBranko berkata, ketiadaan artis dan pemuzik jemputan pada konsert itu juga disebabkan peminat-peminat ingin melihat hanya mereka berempat beraksi di atas pentas.
Menurutnya, Konsert Biru Mata Hitamku adalah persembahan yang bakal mengembalikan era kegemilangan muzik rock pada 1990-an demi untuk kepuasan peminat setia mereka.
Lagu ‘evergreen’ lebih berjiwa
Seiring perubahan zaman berlaku daripada analog kepada digital, JoBranko berkata, proses rakaman lagu dahulu dibuat secara 100 peratus dengan kreativiti tanpa menggunakan elemen ‘copy paste’ atau ‘auto tune’.
“Zaman kita (1990-an) dulu bila nak ‘record’ (rakam lagu) memang sepenuhnya guna kreativiti. Kita tak ada main ‘salin dan tampal’ termasuk sewaktu hendak rakam lagu itu sebab kita kena rancang macam mana nak main solo.
“Selain itu, pernafasan penyanyi juga kena ambil kira. Kalau menyanyi ‘live’, dia (vokalis) boleh atau tidak ‘carry on’ dan benda-benda itu memang diambil kira. Zaman kita dulu, kalau buat rakaman adalah 100 peratus ‘human touch’.
“Sekarang, ada perbezaannya ketika rakaman lagu kerana boleh dikatakan dinamik muzik untuk ‘band’ itu berkurangan sebab ada ‘software’ (perisian) tertentu mengikut ‘standard’.
“Benda ini iaitu ‘touch’ yang kurang. Macam ‘band boy’ dulu memang muzik dirakam datang pada jiwa dengan jari dia petik (gitar) itu macam mana. Tetapi, sekarang saya tahu bila dengar sahaja bunyi gitar, sudah ada ‘auto tune’ termasuk vokal sebab benda jadi terlalu sempurna,” katanya.
Menurutnya, cara berkarya dahulu juga tiada sekatan seperti mengikut jumlah minit muzik dan lagu ingin diputarkan radio.
Justeru, katanya, jiwa dalam lagu itu dapat dirasai sepenuh hati dengan lirik yang cukup kuat.
“Dulu kalau buat album mesti dipastikan kena ada ‘killer song’ untuk stesen radio putarkan yang boleh tambat hati pendengar.
“Malah, untuk dapat karya (killer song) sebegitu perlu ada lirik betul-betul mencengkam jiwa selain melodi yang menarik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




