PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai kayu ukur bagi menentukan sokongan rakyat di Semenanjung terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, meskipun Anwar menyatakan beliau tetap Perdana Menteri sama ada menang atau kalah PRN Johor, keputusan pilihan raya itu tetap menjadi isyarat penting terhadap penerimaan rakyat.
Beliau berkata, rakyat kini mula membandingkan gaya kepimpinan Perdana Menteri ke-10 itu dengan pemimpin terdahulu, termasuk dalam aspek kemampuan menangani krisis dan kritikan.
“PRN Sabah telah memberikan isyarat awal. Kini, PRN Johor bakal menjadi kayu ukur sokongan rakyat di Semenanjung terhadap kepimpinan Anwar.
“Menang atau kalah, Anwar tetap Perdana Menteri. Persoalannya, jika Anwar benar-benar yakin masih mendapat sokongan majoriti rakyat, adakah beliau berani membuktikannya semula di peti undi?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Syahir berkata, legitimasi Anwar sebagai Perdana Menteri terbentuk melalui sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bukan melalui mandat langsung rakyat.
Katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 82 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) mencatat keputusan terburuk dalam sejarah dengan 30 kerusi.
Beliau berkata, Anwar kemudian berjaya memperoleh sokongan 112 Ahli Parlimen bagi membentuk majoriti mudah melalui kerjasama PH dan BN selepas pilihan raya, sebelum disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan.
“Inilah yang dinamakan prinsip demokrasi berparlimen. Rakyat akur dan hormati.
“Maka Anwar diberikan tempoh untuk meyakinkan rakyat. Namun disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari,” katanya.
Menurut Mohd. Syahir, sokongan rakyat terhadap Anwar masih dipersoalkan apabila kerajaan kini bukan sahaja berdepan defisit kewangan dan hutang yang terus meningkat, malah turut berdepan defisit keyakinan.
Katanya, penolakan terhadap Anwar bukan sahaja datang daripada pembangkang, tetapi turut kelihatan dalam kalangan masyarakat sivil yang sebelum ini mendukung agenda reformasi.
“Tidak cukup dengan defisit kewangan dan hutang kerajaan yang terus meningkat, Anwar kini turut berdepan defisit keyakinan.
“Penolakan terhadap Anwar bukan sahaja datang daripada pembangkang, malah turut kelihatan dalam kalangan masyarakat sivil yang sebelum ini mendukung agenda reformasi,” katanya.
Mohd. Syahir berkata, rakyat kini sedang menilai kepimpinan Perdana Menteri ke-10 itu, khususnya selepas timbul cakap-cakap mengenai kerinduan terhadap pentadbiran terdahulu.
Katanya, keadaan itu berlaku ketika legasi pentadbiran Anwar masih belum jelas kelihatan.
“Demokrasi, mandat rakyat,” katanya. – UTUSAN




