KANGAR: Sebuah premis di Jalan Padang Behor di sini tidak serik-serik meskipun telah berulang kali dikompaun akibat masih menjual cecair dan peranti vape yang diharamkan penjualan di negeri ini.
Jumaat lalu, premis berkenaan diserbu Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bersama polis seterusnya menyita kira-kira 400 unit cecair dan 70 unit peranti vape dengan anggaran nilai RM15,000.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, premis berkenaan cuba mengkaburi pihak berkuasa dengan menjalankan operasi penjualan hanya pada sebelah malam secara tertutup.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan tindakan licik premis berkenaan yang tidak serik-serik meneruskan operasi menjual vape meskipun telah beberapa kali dikompaun dan notis menghentikan perniagaan telah dikeluarkan pada Ogos 2025.
“Premis tersebut beroperasi secara tertutup namun pembeli dapat memasuki premis tanpa sekatan. Kita percaya pembeli dalam kalangan pelanggan tetap yang ingin mendapatkan bekalan vape berkenaan.
“Meskipun penjualan vape di Perlis telah diharamkan sejak Ogos tahun lalu namun kita percaya masih ada premis yang ingkar dan kita akan meneruskan risikan serta pemantauan,” katanya.
Affendi Rajini memberitahu, tindakan sita tersebut dijalankan di bawah peruntukan undung-undang kecil perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian MPK 1984.
Katanya, hukuman denda dikenakan tidak melebihi RM2,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap kesalahan yang berterusan selepas sabitan.
“Tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk tidak membenarkan pengoperasian premis penjualan vape di seluruh Perlis yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025.
“Ia juga telah diwartakan oleh kerajaan negeri selaras dengan fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti bahawa penggunaan vape adalah haram,” katanya.-UTUSAN




