Manifesto PH Johor hasil dengar suara dan rintihan akar umbi, bukan 'copy paste' – Zaliha

Manifesto PH Johor hasil dengar suara dan rintihan akar umbi, bukan 'copy paste' – Zaliha

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Segamat: Pakatan Harapan (PH) menafikan manifesto yang dilancarkan oleh gabungan itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sebuah manifesto ‘copy paste’.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebaliknya berkata, manifesto itu hasil daripada tindakan mereka yang mendengar suara rakyat di bawah.

“Ada orang kata kita keluarkan manifesto ini lambat, seminggu lambat dia kata. Dia kata, bila dia bandingkan antara manifesto Barisan Nasional (BN) dan juga PH, dia kata kita ‘copy and paste’ manifesto tersebut.

“Saya nak tanya anda semua di sini, betulkah kerja kita ini ‘copy and paste’? Betulkah? Tidak.

“Kita buat kerja ini begitu lama untuk turun ke bawah, mendengar suara rakyat, mendengar rintihan rakyat. Inilah yang kita bawa supaya kita dapat menawarkan atau yang dikehendaki oleh akar umbi dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa, hari ini.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan manifesto PH yang dilancarkan sebagai sebuah manifesto ‘copy paste’.

Berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram di Johor Bahru baru-baru ini, beliau mendakwa apa yang terkandung dalam manifesto PH, sudah pun dan sedang dilaksana BN.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sekiranya PH memenangi PRN Johor, antara perkara yang akan dilaksanakan adalah dengan menyediakan 250,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda dalam masa lima tahun.

Menurutnya, penyediaan peluang pekerjaan kepada golonga muda itu sekali gus membolehkan mereka tidak merantau ke bandar lain atau ke Singapura.

Katanya, selain peluang pekerjaan, PH juga akan menyediakan wang deposit sebanyak RM8,000 kepada golongan muda yang pertama kali membeli rumah.

“Kita tawarkan itu satu perkara yang saya kira sangat istimewa yang kita beri keutamaan kepada anak muda.

“Banyak lagi perkara lain yang kita tawarkan (seperti) RM500 juta juga kita tawarkan untuk membantu anak muda kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top