Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempertikai hak orang Melayu, sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu yang melabelkan parti itu sebagai sebuah pertubuhan perkauman.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sebagai bukti, DAP tidak pernah membantah keputusan beliau untuk mewartakan 20.23 hektar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Kita buat program (untuk masyarakat) Melayu, bumiputera, tambah peruntukan untuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dia (DAP) tak ada masalah.
“Tapi saya kena (juga) jaga supaya program dengan orang Cina tidak dihalang.
“Orang Cina yang miskin patut dibantu, orang India yang miskin patut dibantu, majoriti Melayu miskin patut dibantu,” katanya pada Program Temu Anwar di sebuah dewan restoran di Muar, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata hasil pertumbuhan ekonomi negara perlu diagihkan secara adil kepada seluruh rakyat, bukannya dimanfaatkan oleh segelintir pihak untuk kepentingan peribadi.
Artikel lain: “Ada parti pakat mahu jatuhkan saya” – PM Anwar dakwa ketegasan banteras rasuah buat ramai tak senang
Beliau berkata, kemajuan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat menerusi penyediaan rumah yang selesa, kemudahan asas yang lebih baik serta mutu pendidikan yang berkualiti.

“Ekonomi sedang meningkat, kita hendak supaya diagihkan dengan adil, pastikan rumah rakyat, gerai, kemudahan asas, mutu pendidikan diperbaiki.
“Saya nak anak-anak faham, kuasa itu amanah untuk digunakan, bukan untuk memperkaya diri.. Politik bukan untuk memperkaya diri sendiri, Politik adalah untuk memberi khidmat,” katanya.
Sementara itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
Sumber: BERNAMA





