Sindiket dadah guna kurier di Sabah terbongkar, empat ditahan

Sindiket dadah guna kurier di Sabah terbongkar, empat ditahan

am@hemtro.com.my

Sandakan: Polis membongkar taktik sindiket pengedaran dadah ke Sabah yang menggunakan perkhidmatan kurier, susulan penahanan empat individu dalam tiga serbuan berasingan di sini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM233,000.

Operasi dilancarkan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sandakan, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan pertama membabitkan wanita tempatan berusia 57 tahun pada 29 Jun lalu selepas mengesan satu bungkusan menggunakan Pos Laju yang mengandungi 207.44 gram (g) pelet dipercayai ganja.

“Serbuan kemudian dibuat ke atas sebuah rumah di Taman Rimba yang membawa kepada penemuan 60 liter cecair hitam dipercayai mengandungi ganja.

“Turut ditemui adalah pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Alhusin berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam kes pertama adalah RM16,595.20.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun pula ditahan dalam operasi Khamis lalu, selepas dikesan mengambil bungkusan yang mengandungi 615.4g ketamin tersorok dalam kotak pencetak.

“Serbuan ke atas rumah suspek pula membawa kepada penahanan isterinya berusia 29 tahun. Rampasan membabitkan ketamin, serbuk jus berperisa disyaki dadah, pil ekstasi dan Eramin 5 yang bernilai RM137,584.33,” katanya.

Dalam serbuan itu, turut disita adalah kereta jenis Ford Ranger, Honda Civic, barang kemas, wang tunai bernilai RM12,300 dan beberapa barangan lain dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Beliau juga memaklumkan pada hari sama, polis menahan seorang lelaki warga FIlipina berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi ‘runner’ atau penghantar kepada sindiket berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui 394.50g ketamin bernilai RM78,900 yang disembunyikan di dalam kasut,” katanya.

Alhusin berkata, ujian saringan awal mendapati semua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top