New York: Perancis membuktikan mereka bukan hanya memiliki corak permainan menyerang yang memukau, malah mampu mengharungi perlawanan penuh fizikal apabila menyingkirkan Paraguay untuk mara ke suku akhir Piala Dunia 2026.
Skuad kendalian Didier Deschamps sebelum ini mencuri tumpuan menerusi aksi menyerang yang menghiburkan, namun berdepan ujian berbeza apabila Paraguay menggunakan corak permainan keras dan agresif sepanjang aksi pusingan 16 terbaik.
Meskipun diasak dengan permainan fizikal lawan, Perancis kekal tenang sebelum meraih kemenangan 1-0 hasil sepakan penalti Kylian Mbappe pada minit ke-70.
Kemenangan itu memastikan Les Bleus melangkah ke suku akhir untuk bertemu Maghribi yang dianggap antara pasukan paling konsisten dalam kejohanan setakat ini.
Perancis turut berjaya mengelak nasib sama seperti Jerman yang tersingkir kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terbaik, selain tidak perlu mengharungi masa tambahan seperti Argentina ketika menewaskan Cape Verde.
Walaupun pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev tidak melayangkan sebarang kad kuning kepada Paraguay walaupun banyak kekasaran dilakukan, Perancis tetap berjaya mengawal emosi sehingga wisel penamat.
Pemain tengah Perancis, Rayan Cherki berkata, pasukannya sudah membuktikan mereka bukan sekadar mampu bermain bola sepak cantik, malah bersedia menghadapi perlawanan yang memerlukan semangat juang tinggi.
“Kekuatan utama mereka ialah mereka tahu bagaimana untuk berperang, tetapi kami mengingatkan semua orang bahawa Perancis bukan hanya tahu bermain bola sepak.
“Sesiapa yang mahu berperang dengan kami, inilah jawapannya,” katanya.
Bagaimanapun, Deschamps berdepan sedikit kebimbangan menjelang aksi menentang Maghribi apabila Bradley Barcola, Manu Kone dan Michael Olise masing-masing sudah mengutip satu kad kuning dan akan digantung satu perlawanan jika menerima satu lagi kad ketika aksi suku akhir nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




