Philadelphia: Keyakinan Perancis semakin memuncak menjelang aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Maghribi selepas membuktikan mereka bukan sahaja mampu bermain bola sepak menyerang, malah sanggup berjuang dalam perlawanan penuh fizikal.
Skuad kendalian Didier Deschamps sebelum ini memukau dengan aksi menyerang yang menghasilkan 13 gol dalam empat perlawanan pertama, namun mereka menunjukkan sisi berbeza ketika menewaskan Paraguay 1-0 pada pusingan 16 terbaik.
Kemenangan di Philadelphia hadir menerusi sepakan penalti Kylian Mbappe pada minit ke-70 selepas Perancis berdepan tentangan sengit daripada Paraguay yang banyak bertahan dan menggunakan permainan fizikal bagi mematahkan rentak lawan.
“Kami tiada masalah jika perlu bermain secara fizikal. Jika perlu berjuang habis-habisan, kami akan lakukannya,” kata Mbappe.
Rakan sepasukannya, Rayan Cherki turut menegaskan Perancis kini sudah membuktikan mereka bukan sekadar mampu bermain bola sepak yang cantik.
“Kekuatan utama mereka ialah semangat juang, tetapi kami menunjukkan Perancis bukan hanya tahu bermain bola sepak yang menarik. Jika ada pasukan mahu berperang dengan kami, mereka kini tahu apa yang bakal dihadapi,” katanya.
Perancis hadir ke suku akhir dengan rekod sempurna lima kemenangan daripada lima perlawanan, manakala Mbappe berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan bersama Lionel Messi dengan tujuh gol.
Selain memiliki jentera serangan yang tajam, benteng pertahanan Les Bleus turut menyerlah apabila hanya dibolosi dua gol sepanjang kejohanan hasil gandingan mantap William Saliba, Dayot Upamecano dan penjaga gol Mike Maignan.
Bagaimanapun, Deschamps mengakui Maghribi akan menjadi lawan paling sukar setakat ini memandangkan pasukan ranking ketujuh dunia itu dianggap antara pencabar utama kejuaraan dan pernah mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.
Pertemuan itu juga mengulangi aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar yang dimenangi Perancis 2-0, dengan Les Bleus memburu tempat ke separuh akhir buat kali keempat berturut-turut di bawah kendalian Deschamps.
© New Straits Times Press (M) Bhd




