Silverstone: Charles Leclerc menghadiahkan kemenangan buat Ferrari pada Grand Prix (GP) Britain selepas menjuarai perlumbaan yang berakhir di belakang kereta keselamatan susulan insiden dramatik pada penghujung saingan.
Pemandu kelahiran Monaco itu mengekalkan kedudukan di depan sehingga garisan penamat selepas kereta keselamatan memasuki litar berikutan kemalangan membabitkan Max Verstappen dari Red Bull, berbaki empat pusingan.
George Russell mengambil kesempatan daripada nasib malang pesaingnya untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua bersama Mercedes sekali gus merapatkan jurang kedudukan kejuaraan kepada 25 mata di belakang rakan sepasukan, Kimi Antonelli.
Lewis Hamilton pula melengkapkan podium buat Ferrari di tempat ketiga, namun keputusan itu masih belum dimuktamadkan apabila dia disiasat kerana didakwa melanggar peraturan bendera kuning.
Perlumbaan menyaksikan Antonelli yang bermula di petak utama berada di landasan terbaik untuk mencabar Leclerc selepas berjaya mengurangkan jurang dengan berbaki 11 pusingan.
Bagaimanapun, pemandu Itali berusia 19 tahun itu tiba-tiba memperlahankan jenteranya sebelum memaklumkan kepada pasukan bahawa dia mengalami masalah teknikal.
Masalah itu memusnahkan peluang Antonelli untuk meraih kemenangan, malah dia hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 tanpa sebarang mata.
Kereta keselamatan yang memasuki litar selepas kemalangan Verstappen kekal berada di depan sehingga tamat perlumbaan walaupun sebelum itu terdapat isyarat ia akan memasuki pit bagi membolehkan satu lagi pusingan perlumbaan dijalankan.
Kemenangan itu memberi suntikan moral kepada Ferrari, manakala saingan kejuaraan dunia semakin sengit apabila Russell berjaya mengurangkan defisit mata kepada Antonelli selepas sembilan pusingan musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




