Kes tikam di sekolah: Polis siasat pelajar perempuan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan

Kes tikam di sekolah: Polis siasat pelajar perempuan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan

am@hmetro.com.my

Kuala Langat: Pelajar perempuan yang dipercayai terbabit dalam kes tikam di sebuah sekolah menengah di Banting, di sini, ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian jam 9.50 pagi tadi.

“Wanita itu memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan cedera dalam kawasan sekolah.

“Sepasukan polis kemudian mengambil tindakan segera ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang lagi pelajar perempuan.

“Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting dan berada dalam keadaan stabil.

“Manakala suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top