PEMERHATI bola sepak England yang juga bekas penyerang Chelsea, Tony Cascarino berpendapat Cristiano Ronaldo lebih sesuai memulakan aksi dari bangku simpanan ketika Portugal menentang Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia di Stadium Dallas awal pagi Selasa (3 pagi waktu Malaysia).
Menurut Cascarino, Portugal memiliki lebih banyak pilihan serangan yang mampu memberi intensiti tinggi sejak awal permainan, manakala pengalaman dan ketajaman Ronaldo boleh dimanfaatkan pada babak kedua.
“Saya tidak pasti ia sesuatu yang baik buat Portugal jika Ronaldo mengetuai jentera serangan menentang Sepanyol.
“Saya tidak nampak dia akan banyak menyentuh bola atau memberi sumbangan yang benar-benar memberi perbezaan dalam perlawanan,” katanya.
Cascarino turut menolak pandangan bahawa tiga gol Ronaldo dalam kejohanan ini membuktikan penyerang berusia 41 tahun itu masih wajar menjadi pilihan utama.
“Orang akan kata dia sudah menjaringkan tiga gol. Namun dua daripadanya hadir ketika menentang Uzbekistan, manakala satu lagi menerusi sepakan penalti.
“Bagi saya, Ronaldo ketika ini lebih berkesan jika digunakan sebagai pemain gantian,” katanya.
Untuk rekod, Ronaldo menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.
Penyerang Al-Nassr itu juga mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain tertua menjaringkan gol di peringkat kalah mati Piala Dunia.



