Seattle: Belgium diberikan hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menangguhkan hukuman penggantungan satu perlawanan ke atas penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, menurut laporan The Athletic.
Balogun sebelum ini akan terlepas aksi pusingan 16 terakhir menentang Belgium, pagi esok, selepas dilayangkan kad merah yang secara automatik membawa kepada penggantungan satu perlawanan.
Bagaimanapun, FIFA mengumumkan hukuman itu digantung, sekali gus membolehkan penyerang berusia 25 tahun berkenaan kembali layak beraksi.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan hangat, selain mendorong Persatuan Bolasepak Diraja Belgium (RBFA) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang meneliti semua pilihan yang ada.
Menurut The Athletic, RBFA kemudian mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan permohonan itu diterima.
RBFA dan Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat dilaporkan diarahkan mengemukakan hujahan masing-masing sebelum 5 pagi PT, iaitu 12 jam sebelum sepak mula perlawanan di Stadium Seattle.
Laporan itu turut menyatakan seorang ahli Jawatankuasa Rayuan FIFA dilantik untuk mendengar kes berkenaan.
Ahli berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana persatuan bola sepak di bawah UEFA mahupun CONCAFAF.
Bagaimanapun, Belgium tidak diberikan jaminan keputusan rayuan akan diumumkan sebelum perlawanan menentang AS berlangsung.
Balogun ketika ini layak untuk diturunkan dan dijangka berada dalam kesebelasan utama.
Penyerang itu adalah penjaring terbanyak AS di Piala Dunia kali ini dengan tiga gol, termasuk jaringan kemenangan ketika menewaskan Bosnia dan Herzegovina, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Balogun dilayangkan kad merah selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR), sekali gus dikenakan penggantungan satu perlawanan sebelum FIFA membuat keputusan mengejut untuk menggantung pelaksanaan hukuman berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
