Seattle: Harga tiket bagi aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara Amerika Syarikat (AS) dan Belgium terus merosot menjelang sepak mula dengan harga paling murah kini turun kepada AS$1,508 (RM6,390).
Menurut TicketData.com, harga tiket paling murah itu susut 27 peratus dalam tempoh tiga hari selepas mencecah AS$3,115 (RM13,200) sebaik pertemuan kedua-dua pasukan disahkan pada 1 Julai lalu.
Malah, harga tiket itu pernah jatuh serendah AS$1,283 (RM5,440) pada Ahad sebelum meningkat semula kepada AS$1,788 (RM7,580), namun kembali menurun pada pagi Isnin.
Trend sama turut berlaku pada beberapa lagi aksi pusingan 16 terbaik, walaupun pertembungan England dan Mexico di Stadium Azteca kekal mencatat harga tiket paling tinggi dengan harga paling murah mencecah AS$3,820 (RM16,190).
Bagi aksi Argentina menentang Mesir di Atlanta, harga tiket paling murah turun daripada AS$1,599 (RM6,780) kepada AS$1,378 (RM5,840), manakala perlawanan Switzerland menentang Colombia di Vancouver kini menjadi aksi paling murah dengan harga tiket serendah AS$719 (RM3,050).
Sementara itu, aksi Portugal bertemu Sepanyol di Dallas hanya mencatatkan sedikit penurunan apabila harga tiket susut daripada AS$1,367 (RM5,790) kepada AS$1,311 (RM5,550).
Secara keseluruhan, purata harga tiket paling murah bagi semua perlawanan pusingan 16 terbaik menurun tiga peratus dalam tempoh tiga hari dan lapan peratus sepanjang seminggu lalu.
Penurunan mendadak harga tiket bagi aksi AS menentang Belgium dianggap mengejutkan memandangkan kem latihan Belgium terletak hanya kira-kira 16 kilometer dari Stadium Seattle, selain itu menjadi perlawanan ketiga mereka di bandar berkenaan sepanjang kejohanan.
Pemenang perlawanan itu akan menentang pemenang aksi Portugal dan Sepanyol pada suku akhir di Los Angeles, Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




