Perlu ada agensi rasmi durian untuk selamatkan masa depan Raja Buah

Perlu ada agensi rasmi durian untuk selamatkan masa depan Raja Buah

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Lambakan luar biasa durian Musang King yang berlaku musim ini menyebabkan pengusaha dan pemilik kebun berdepan masalah pusingan modal selain pendapatan mereka turut terjejas.

Susulan itu pengusaha tanaman durian Musang King di daerah ini berharap kerajaan dapat mewujudkan agensi rasmi durian Musang King bagi memastikan kelestarian industri raja buah itu terus terjamin untuk jangka masa panjang.

Naib Pengerusi Persatuan Pelabur Pertanian Gua Musang, Tan Hu Hoi berkata, sehingga kini lebih 200 pekebun durian Musang King di daerah ini berdepan masalah pusingan modal apabila harga raja buah itu jatuh menjunam.

Katanya, mereka berharap kerajaan dapat membantu pekebun yang terjejas dengan mewujudkan satu agensi bagi menyelia dan membantu pekebun bagi memastikan tanaman durian Musang King ini dapat diteruskan.

“Kami berharap ada satu agensi untuk menyelaras pembangunan industri durian, memastikan bekalan dan kualiti durian kekal terjamin termasuk membantu pemasaran dan eksport durian serta menjaga kebajikan pekebun.

“Kita mohon kerajaan tempatan atau kerajaan negeri untuk mengadakan agensi berkaitan durian kerana sehingga kini tiada satu kementerian memberi bantuan dan perhatian kepada pengusaha raja buah negara seperti kewujudan Lembaga Koko Malaysia dan Lembaga Perindustrian Nanas.

“Badan khusus ini penting untuk menjaga pekebun kecil disebabkan sekarang ini harga merosot, tanaman durian Musang King pula perlukan perbelanjaan yang banyak dan penjagaan yang rapi,” katanya pada Pesta Durian Musang King di Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini, semalam.,

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Makanan Kelantan, Datuk Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Bagi wakil pekebun kecil durian Musang King Lim Mai Khim, 57, berkata penurunan harga yang mendadak musim durian tahun ini mengakibatkan pendapatan mereka terjejas dan turut memberi kesan kepada kos untuk pengurusan kebun.

“Harga baja mahal dan upah pekerja juga tidak murah kerana pokok ini memerlukan penjagaan yang lebih rapi berbanding pokok lain. Untuk tahun ini kita tidak dapat membuat pusingan modal bagi tanaman yang akan datang kerana musim ini harga durian sangat murah.

“Kita mohon agar ada pihak yang dapat kawal selia harga buah ini dan memastikan pekebun tidak terbeban dengan kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Saripudin berkata, kerajaan negeriakan terus memantau perkembangan pasaran durian bagi memastikan kejatuhan harga akibat lambakan hasil pada musim ini tidak terus menjejaskan pendapatan pekebun.

Katanya, kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan sentiasa mengumpul data serta memantau pergerakan pasaran.

“Lambakan durian pada musim ini berlaku apabila musim pengeluaran di negeri-negeri utama seperti Pahang, Perak dan Kelantan berlaku hampir serentak sehingga memberi tekanan kepada harga.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan pasaran supaya kejatuhan harga tidak terlalu memberi kesan kepada pekebun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top