PRN Johor: 44 kerusi diunjur milik BN, kadar keluar mengundi masih jadi penentu

PRN Johor: 44 kerusi diunjur milik BN, kadar keluar mengundi masih jadi penentu

mahaizura@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Berbaki tiga hari lagi sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Sabtu ini, tumpuan kini bukan lagi kepada perang bendera, ceramah mahupun kehadiran pemimpin utama parti, sebaliknya satu faktor yang sering menjadi penentu keputusan iaitu kadar keluar mengundi.

Sepanjang 11 hari berkempen, tidak banyak perubahan besar dapat dilihat pada sentimen pengundi, malah peratusan pengundi yang benar-benar keluar mengundi Sabtu ini dijangka menjadi penentu utama paling kritikal sama ada mengekalkan corak sokongan sedia ada atau mencetuskan kejutan di beberapa kerusi.

Berdasarkan unjuran semasa, Barisan Nasional (BN) dilihat berada di landasan kukuh untuk terus menerajui Johor apabila dijangka menguasai 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau hampir 79 peratus daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan.

Menariknya, daripada 56 kerusi dipertandingkan itu, 23 kerusi tidak menyaksikan saingan daripada Perikatan Nasional (PN), manakala 33 kerusi lagi membabitkan kawasan yang turut menyaksikan pertandingan dengan gabungan itu.

Jika unjuran itu menjadi kenyataan, BN bukan saja mengekalkan pentadbiran negeri, malah menambah empat kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenanginya pada PRN Johor ke-15 pada 2022. BN dijangka terus mendominasi sebahagian besar kerusi luar bandar dan separa bandar apabila mengekalkan penguasaan di Buloh Kasap, Bekok, Yong Peng, Parit Yaani, Machap, Mahkota, Tanjung Surat, Larkin, Kempas, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nanas dan Kukup.

Pengaruh gabungan itu juga diramal kekal kukuh di Pemanis, Kemelah, Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Layang-Layang, Paloh, Kahang, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tiram, Permas, Kota Iskandar serta Bukit Permai.

BN turut dijangka berpeluang merampas Bukit Batu daripada PKR, Bukit Kepong daripada Bersatu (PN) serta Maharani daripada PAS (PN) sekiranya unjuran semasa kekal sehingga hari pengundian.

Pada masa sama, baki 12 kerusi dijangka dimenangi parti dalam Pakatan Harapan (PH) membabitkan DAP (10) serta AMANAH dan PKR masing-masing satu kerusi.

Kekuatan gabungan itu dijangka terus bertumpu di kawasan bandar apabila DAP diramal mempertahankan Penggaram, Bentayan, Mengkibol, Skudai, Senai, Perling, Stulang, Johor Jaya, Jementah serta Tangkak.

Bagi komponen PH lain, AMANAH dijangka terus mempertahankan Simpang Jeram manakala PKR berpotensi merampas DUN Puteri Wangsa daripada MUDA.

Namun, angka terbabit bukanlah gambaran keputusan muktamad, sebaliknya hanya berdasarkan trend sokongan sepanjang tempoh kempen dengan unjuran kadar keluar mengundi kira-kira 60 peratus.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang mengetuai kajian lapangan itu berkata, jangkaan semasa itu merujuk kepada bilangan kerusi yang berada dalam pegangan parti masing-masing dan bukannya keputusan akhir PRN.

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk pengalaman PRN Johor 2022 yang merekodkan kadar keluar mengundi 54.92 peratus ketika pengundi masih dibayangi pandemik Covid-19, kewujudan kira-kira 300,000 pengundi luar kawasan, hari pengundian jatuh pada Sabtu di pertengahan bulan serta penyertaan pengundi muda mengundi buat kali pertama selepas pelaksanaan Undi18.

“Setakat cerapan kami, kadar keluar mengundi dijangka tidak melebihi 60 peratus dengan BN diramal menguasai 44 kerusi, PH (10), manakala parti lain dilihat tidak memberikan saingan, malah ada kerusi hampir hilang deposit.

“Namun, jika kadar keluar mengundi melebihi 60 peratus serta pengumuman besar seperti tambahan bantuan mahupun pemberian geran Felda dijangka berlaku perubahan dengan beberapa kerusi berpotensi berubah tangan,” katanya.

Menurut beliau, unjuran itu juga dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan umum termasuk isu dekat dengan pengundi serta mengambil kira faktor khusus yang berbeza mengikut kawasan.

“Ada faktor umum dalam isu-isu dan kadar keluar mengundi. Cuma ada spesifik tempat yang ada faktor khusus seperti isu calon luar, banjir dan capaian internet,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi faktor yang tidak boleh diketepikan ialah komposisi pengundi Johor sendiri berjumlah 2,727,926 pengundi berdaftar.

“Daripada jumlah itu, 1,297,931 berusia antara 18 hingga 39 tahun atau hampir separuh daripada keseluruhan daftar pemilih negeri.

“Ini bermakna kelompok pengundi muda berpotensi menjadi antara penentu utama keputusan PRN kali ini,” katanya.

Sepanjang tempoh berkempen, katanya, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pembangunan setempat, kesesakan jalan raya terutama di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan negeri turut menjadi antara pertimbangan utama pengundi.

“Pada masa sama, faktor PKR membawa calon luar di beberapa kerusi seperti Buloh Kasap, Pemanis dan Tenang juga sebenarnya berisiko kerana turut menjadi perhatian pengundi,” katanya.

Menjelang penghujung kempen, Mohammad Tawfik meramalkan, setiap parti dijangka mengubah pendekatan daripada bergantung kepada ceramah berskala besar kepada gerak kerja lebih tersusun di lokaliti sasaran bagi memastikan penyokong mereka benar-benar keluar mengundi.

“Parti-parti tidak boleh bergantung kepada ceramah besar. Strategi paling berkesan ialah kempen secara kumpulan kecil dengan mengenal pasti lokaliti sasaran, menggerakkan pengundi luar kawasan, menyantuni pengundi muda melalui mesej ringkas dan praktikal serta menonjolkan calon untuk meyakinkan pengundi bagi menyelesaikan masalah setempat,” katanya.

Kesimpulannya, walaupun BN dilihat berada di landasan kukuh untuk terus mentadbir Johor, keputusan sebenar masih bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Jika kadar keluar mengundi rendah, BN yang mempunyai jentera akar umbi lebih tersusun serta kelompok pengundi tetap lebih berdisiplin, dijangka memperoleh kelebihan.

Sebaliknya, jika lebih ramai pengundi muda, bandar dan luar kawasan keluar mengundi sehingga melepasi 60 peratus, persaingan di kerusi campuran serta kawasan pinggir bandar dijangka menjadi lebih sengit sekali gus membuka ruang kepada perubahan keputusan di beberapa kerusi yang kini dilihat memihak kepada parti tertentu.

Atas sebab itu, baki tempoh berkempen seharusnya menjadi ‘senjata akhir’ setiap parti untuk memujuk penyokong keluar mengundi berbanding mempengaruhi persepsi melalui ceramah berskala besar mahupun serangan peribadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top