Padah sebar berita palsu harga minyak, suri rumah didenda RM4,000

Padah sebar berita palsu harga minyak, suri rumah didenda RM4,000

am@hmetro.com.my

Sepang: Padah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi media sosial berhubung kenaikan harga minyak, seorang suri rumah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Nadia Ahmad Johari, 34, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Nadia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran palsu yang disertakan dengan infografik palsu berhubung kenaikan harga minyak dengan niat mengganggu orang lain.

Dia dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menerusi aplikasi Threads yang dilihat pada jam 12.01 tengah hari di Menara MCMC 1, Cyberjaya, 31 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Nazrul Nizam Mohd Zamri mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membendung penyebaran kandungan palsu dan jelek yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Katanya, penyebaran maklumat palsu boleh membawa implikasi yang lebih besar apabila membabitkan isu sensitif seperti agama, kaum, institusi diraja serta perkara yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

“Hari ini mungkin seseorang beranggapan satu hantaran itu perkara kecil tetapi apabila dikongsi oleh ratusan atau ribuan orang, kesannya menjadi jauh lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum berkongsi di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top