am@hmetro.com.my
Seremban: Kakitangan syarikat bekalan air didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dan memperdayakan dua mangsa wanita membabitkan kerugian keseluruhan RM108,500.
Tertuduh, Mohd Rashid Sidek, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Norsalihah Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan curangnya menipu seorang wanita berusia 38 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM96,500 yang mana mangsa tidak akan melakukan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah didenda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menipu mangsa wanita berusia 34 tahun dengan curangnya hingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM12,000 secara pindahan ke dalam akaun bank tertuduh.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Taman Nada Embun dan Taman Nilam Sari di sini antara 30 Disember 2025 hingga 4 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Ideris dan J G Vesvanathan masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dan RM5,000.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Ng Yunn Yiing mewakili tertuduh pula memohon jaminan paling minimum atas alasan tertuduh yang berpendapatan RM4,000 sebulan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 dan 12 Ogos depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




