Pahang paling ramai orang asli

Pahang paling ramai orang asli

PETALING JAYA: Pahang mencatatkan bilangan penduduk Orang Asli tertinggi iaitu 82,824 orang berdasarkan Laporan Khas Demografi Orang Asli yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Jumlah kedua tertinggi adalah Perak dengan 58,942 orang dan Selangor (21,312).

Pada 2025, penduduk Orang Asli di negara ini dianggarkan berjumlah 227,900 orang iaitu meningkat daripada 213,461 orang pada 2020 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan 1.2 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Papan Pemuka (Dashboard) Orang Asli menyediakan akses kepada statistik komprehensif dan mudah difahami bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan sosio demografi masyarakat itu.

“Platform ini diharap dapat membantu kerajaan, penyelidik, institusi akademik dan pelbagai pihak berkepentingan merancang serta menilai inisiatif pembangunan yang lebih tepat, inklusif dan berimpak.

“Dashboard ini memaparkan statistik rasmi yang komprehensif meliputi profil demografi, isi rumah, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, tempat kediaman, akses kepada kemudahan asas serta indikator sosio ekonomi lain berkaitan.

“Penyediaan maklumat ini bertujuan memperkukuh perancangan pembangunan yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat Orang Asli serta menyokong amalan membuat keputusan berasaskan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelang Hari Penduduk Sedunia pada 11 Julai ini, DOSM melancarkan Dashboard Orang Asli iaitu sebuah platform visualisasi statistik rasmi yang dibangunkan hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berasaskan Laporan Khas Demografi Orang Asli.

Dashboard itu menghimpunkan pelbagai indikator utama berkaitan masyarakat Orang Asli bagi menyokong perancangan pelaksanaan program pembangunan yang lebih inklusif. – UTUSAN

Scroll to Top