Kisah di sebalik Ayah Pin, operasi tumpaskan Kerajaan Langit

Kisah di sebalik Ayah Pin, operasi tumpaskan Kerajaan Langit

zatuliffah@hmetro.com.myS

Kuala Lumpur: Tahun 2005 mencatatkan satu detik menggemparkan dalam sejarah negara apabila nama Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Muhamad tiba-tiba memenuhi tajuk utama akhbar, siaran televisyen dan perbualan masyarakat.

Di sebuah penempatan terpencil di Batu 13 Hulu Besut, Terengganu, seorang lelaki yang mendakwa memiliki keistimewaan luar biasa berjaya membina kelompok pengikut setia sehingga mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa agama serta kerajaan.

Ratusan pengikut daripada pelbagai latar belakang berkumpul bagi mendengar ajaran yang dibawa Ayah Pin yang dianggap pengikutnya sebagai tokoh istimewa yang membawa mesej perpaduan sejagat di kawasan yang menempatkan binaan unik berbentuk teko gergasi, pasu dan payung berwarna-warni.

Namun, bagi pihak berkuasa, ajaran itu menyimpang daripada pegangan agama Islam dan berpotensi mengelirukan masyarakat sebelum ia difatwakan sesat dan syirik oleh Jawatankuasa Fatwa Terengganu pada 1997.

Kemuncak kontroversi tercetus apabila perkampungan diserang dan dibakar oleh sekumpulan individu bertopeng pada Julai 2005 sebelum kerja-kerja perobohan rasmi dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sempena ulang tahun ke-35 Harian Metro, Pengarang Berita, Isma Yussmey Ismail, berkongsi semula pengalamannya sebagai wartawan ketika melaporkan kes yang menjadi tumpuan negara itu.

Berkongsi pengalamannya, Isma yang ketika itu bertugas sebagai wakil Harian Metro (HM) di Biro Kelantan mendapat maklumat penduduk akan berkumpul di perkampungan berkenaan untuk membuat bantahan mengenai ajaran sesat itu pada 18 Julai 2005.

Katanya, dia sebelum itu sudah hampir sebulan berulang-alik dari Kota Bharu, Kelantan ke Besut untuk melakukan tinjauan dan penyiasatan dengan misi bertemu sendiri dengan Ayah Pin selepas diarahkan Ketua Biro HM, Munir Anaam Zuljadan ketika itu.

“Sehari sebelum kejadian itu, saya dapat maklumat penduduk akan berkumpul pada waktu pagi sebagai tanda protes terhadap ajaran sesat itu namun, saya ke sana lebih awal memandangkan jarak yang jauh dari Kota Bharu, Kelantan ke Besut.

“Saya tiba di kampung itu kira-kira jam 3 pagi dengan ditemani seorang rakan. Jadi sementara menunggu hari siang, kami berada di dalam kereta sebelum keadaan yang sunyi itu tiba-tiba menjadi kecoh selepas waktu subuh dengan bunyi tayar kereta serta kehadiran puluhan individu bertopeng yang mengikat kepala dengan kain putih.

“Keadaan di situ menjadi huru-hara dengan bunyi cermin tingkap pecah dan bunyi letupan sebelum kumpulan itu beredar kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Menurut Isma, dia keluar daripada keretanya sebaik kumpulan penyerang itu beredar dan melihat api sedang marak membakar kawasan perkampungan itu.

“Masa itu, saya dengar orang menjerit ‘kampung Ayah Pin kena bakar’ dan keadaan di sana memang agak kelam-kabut dan saya segera ke rumah tok penghulu dan minta dia hubungi bomba untuk memadamkan kebakaran.

“Saya sendiri terpaksa ke Bandar Jertih yang terletak kira-kira 35 kilometer dari kampung itu untuk menghubungi ketua biro bagi melaporkan situasi itu memandangkan tiada rangkaian telefon di kawasan berkenaan.

“Apabila saya kembali ke situ, kawasan itu sudah dipenuhi dengan polis, bomba, orang kampung dan rakan media yang lain.

“Difahamkan, ketika kejadian Ayah Pin ada di kampung berkenaan namun, dia dibawa pengikutnya ke lokasi lain selepas berlaku serangan itu,” katanya.

Rentetan daripada kejadian serangan dan kebakaran itu, Isma berkata, situasi di perkampungan Kerajaan Langit berubah menjadi kucar-kacir dengan tindakan penguatkuasaan yang pantas dan drastik oleh pihak berkuasa.

“Ia satu pengalaman berharga buat saya sendiri dan antara yang tak boleh saya lupakan adalah lelaki yang menjaga pintu masuk di perkampungan itu yang menggelar dirinya sebagai ‘penjaga pintu neraka’.

“Setiap kali saya ke sana, saya akan berjumpa dengannya meminta izin untuk bertemu dengan Ayah Pin, namun tidak pernah berhasil walaupun pelbagai alasan diberikan untuk masuk ke dalam,” katanya.

Susulan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, seramai 58 pengikut ditahan pada 20 Julai 2005 manakala tiga daripada empat isteri Ayah Pin turut ditahan di Kelantan pada penghujung Julai 2005.

Perobohan secara rasmi ke atas replika ikonik seperti teko gergasi, payung, dan pasu kerana dibina tanpa permit di atas tanah pertanian pula dilakukan pihak kerajaan melalui Pejabat Tanah dan jabatan agama pada 1 Ogos 2005.

Kira-kira 45 orang pengikut didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melanggar fatwa yang mengisytiharkan ajaran itu sebagai sesat manakala kira-kira 40 orang menerima pengampunan atau keringanan hukuman selepas mereka bersetuju untuk bertaubat dan meninggalkan ajaran berkenaan.

Ayah Pin yang dikatakan melarikan diri ke Thailand selepas kejadian itu kembali ke Malaysia secara rahsia pada 2008 dan meninggal dunia pada 22 April 2016 di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada usia 74 tahun akibat sakit tua dengan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumahnya di perkampungan yang sama.

Selepas 21 tahun, keadaan tapak ‘Kerajaan Langit’ hari ini sudah jauh berubah daripada pemandangan ikonik yang pernah menggemparkan negara dan pihak berkuasa seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) masih memantau rapi kawasan itu berikutan laporan wujudnya cubaan saki-baki pengikut untuk menghidupkan semula ajaran itu pada 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top