Permintaan durian Batu Kurau tidak terjejas

Permintaan durian Batu Kurau tidak terjejas

LARUT: Sekatan dan syarat lebih ketat yang dikenakan China terhadap eksport durian klon Malaysia memberi kesan kepada pasaran durian premium seperti Musang King dan Black Thorn, namun impaknya terhadap durian kampung di Perak masih terkawal.

Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin berkata, penurunan harga durian klon susulan kekangan pasaran eksport menyebabkan pengguna mula beralih kepada durian premium yang dijual pada harga lebih rendah.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak banyak menjejaskan permintaan terhadap durian kampung Batu Kurau kerana buah berkenaan mempunyai peminat tersendiri dan terus mendapat permintaan di pasaran.

“Kita melihat apabila durian klon seperti Musang King dan Black Thorn tidak dapat menembusi pasaran China, harga buah tersebut menurun dan pengguna lebih cenderung membelinya.

“Namun, durian kampung Batu Kurau mempunyai peminat setia, justeru kesannya tidak begitu ketara dan masih boleh dipasarkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) kepada pengumpul hasil pertanian di Kampung Relang, di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun musim pengeluaran durian kampung berlaku serentak dengan musim durian klon, FAMA terus membantu pengusaha menerusi pembelian terus daripada pekebun serta memperluaskan jaringan pemasaran hasil tersebut.

Beliau berkata, FAMA turut melaksanakan intervensi harga lantai dengan membeli durian kampung daripada penanam yang berdaftar pada kadar RM2.70 sekilogram bagi memastikan pendapatan pekebun terus terjamin sepanjang musim pengeluaran.

“Intervensi ini dilaksanakan pada setiap musim bagi mengelakkan kejatuhan harga yang boleh menjejaskan pendapatan pengusaha,” katanya.

Mengulas mengenai pengeluaran durian di negeri ini, Azleena berkata, Batu Kurau yang merupakan kawasan utama pengeluaran durian kampung di Perak setakat ini tidak berdepan isu lambakan hasil yang serius.

Beliau berkata, FAMA menyerahkan sebuah Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) kekal kepada pengumpul hasil pertanian, Mohd Faizal Jaafar, 49, selepas sebelum ini menggunakan kemudahan pusat pengumpulan sementara.

Katanya, kemudahan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Mohd Faizal yang bertindak sebagai pengumpul utama hasil pertanian di kawasan Kampung Relang sejak 15 tahun lalu. – UTUSAN

 

Scroll to Top