Sydney: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menolak tanggapan pasukannya sedang merasakan tekanan menjadi antara pasukan pilihan bagi memenangi Piala Dunia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
“Pasukan ini sudah bermain sebagai pasukan pilihan selama beberapa tahun dan sentiasa bermain dengan baik. Tetapi apabila keadaan tidak berjalan seperti yang anda inginkan, anda akan berjuang, dengan semangat, keazaman…dan pasukan ini mempunyai (perkara) itu,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
“Anda boleh bermain dengan lebih baik, tetapi jika anda tidak mempunyainya, anda akan tersingkir.”
Juara bertahan Argentina akan menentang Mesir tengah malam ini dalam pusingan 16 terakhir, namun mereka hanya mara selepas kemenangan sukar ke atas Cape Verde selepas masa tambahan.
“Pemain merasakan kesan daripada banyak perlawanan yang telah mereka mainkan tahun ini, tetapi tahap Argentina boleh diterima. Kami berpuas hati. Ada perkara yang perlu diperbetul, tetapi lebih baik apabila anda menang,” kata Scaloni.
Jurulatih itu menambah bintang Lionel Messi cergas dan bersedia untuk memulakan perlawanan.
“Dia bermain dengan baik, walaupun dia bermain 120 minit (menentang Cape Verde) pada usia 39 tahun. Dia akan bermain lagi,” kata Scaloni.
Messi sudah menjaringkan tujuh gol di kejohanan itu setakat ini, terikat dengan Kylian Mbappe dari Perancis dan bintang Norway Erling Haaland.
© New Straits Times Press (M) Bhd




