am@hmetro.com.my
Jelebu: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias enggan mengesahkan sama ada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-15.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu pengumuman rasmi calon BN yang dijangka dibuat Rabu depan.
“Tunggulah. Kita tengoklah nanti sama ada beliau disenaraikan sebagai calon atau tidak.
“Jadi jangan buat spekulasi. Senarai pendek nama calon sudah ada , hanya perlu dimuktamadkan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Santuni Kampung Orang Asli Parlimen Jelebu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Kampung Orang Asli Baner Tengkoh, di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata, senarai calon BN kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, manakala pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN juga dijangka diputuskan dalam masa terdekat.
Katanya, kedudukan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya lalu, sama ada dikekalkan, dipindahkan atau digugurkan, turut akan diputuskan dalam tempoh sama.
Ditanya mengenai kedudukannya sendiri sama ada akan terus mempertahankan kerusi DUN Pertang atau bertanding di DUN Klawang, Jalaluddin berkata, beliau akan akur dengan apa juga keputusan pucuk pimpinan parti.
“Semuanya ini bergantung kepada keputusan dan kebenaran daripada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri yang mahu kita bertanding di mana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




