'Bukan kemurungan, hanya sunyi luar biasa' – Kamal Adli

'Bukan kemurungan, hanya sunyi luar biasa' – Kamal Adli

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya : “Bukan sunyi biasa, tetapi hari itu saja tiba-tiba dia ‘attack’ (serang). Saya bukannya ada anxiety (kebimbangan melampau).”

Demikian luahan pelakon, Kamal Adli, 40, tampil memperincikan mengenai ciapan di aplikasi Threads baru-baru ini yang mencetuskan kebimbangan peminat sehingga ada yang menyangka dia sedang melalui fasa kemurungan.

Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli ini menjelaskan, hantaran itu dibuat sekadar untuk berkongsi perasaan sunyi luar biasa yang dialaminya pada lewat malam, selain mahu mendapatkan pandangan netizen yang pernah melalui situasi sama.

“Waktu itu dah lewat malam dan tak ada orang saya nak borak. Impaknya, dia macam terus ‘serang’ emosi saya seorang. Saya sendiri tak tahu nak gambarkan bagaimana rasa itu.

“Saya tak sangka ramai berkongsi pendapat, termasuk mereka yang profesional dan alim ulama. Saya baca satu demi satu dan saya boleh kaitkan dengan diri saya. Alhamdulillah, saya kembali tenang,” katanya kepada Harian Metro.

Kamal ketika ditemui pada majlis perasmian Astro Fandom yang berlangsung di D Theatre, Empire Damansara mendedahkan anak tunggalnya, Hawra Uqaira, menjadi penyelamat utama.

“Esoknya saya terus cari Hawra. Bila dapat jumpa dia, saya rasa okey. Saya memang gembira bila bersamanya. Bila jumpa dia, saya akan ‘all out’. Saya tak pegang telefon, saya cuma nak luangkan masa dengan dia.

“Saya takut kalau perasaan itu datang lagi sebab saya sendiri tak pernah rasa macam itu sebelum ini. Pertama kali dia ‘serang’ teruk sangat. Itu yang saya jadi macam bongok sekejap,” katanya.

Ditanya sama ada perasaan sunyi yang hadir itu adalah petanda untuk dirinya kembali mencari teman hidup selepas bergelar duda, Kamal menegaskan dia belum bersedia untuk fasa itu.

“Saya tak berharap ke arah itu lagi. Saya gembira ada Hawra sekarang. Itu punca utama saya gembira sekarang iaitu dengan berada dekat dengannya,” katanya.

Untuk rekod, Kamal sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Uqasha Senrose pada 4 November 2021 sebelum sah bercerai pada 12 Januari.

Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top