Shah Alam : Pemaju hartanah perindustrian terkemuka negara, Klanggroup Holdings Sdn Bhd (Klanggroup) melakar sejarah tersendiri apabila memulakan langkah sulung dalam pasaran modal Islam menerusi cadangan penerbitan Program Sukuk Wakalah berjumlah keseluruhan RM4.0 bilion.
Penerbitan itu dibuat melalui syarikat pembiayaan milik penuhnya, Klanggroup Capital Berhad, yang mengemukakan Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM3.0 bilion dan Program Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM1.0 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Program sukuk yang distrukturkan berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar itu mendapat penarafan awal AA3(s)/Stabil dan P1(s) daripada RAM Rating Services Berhad, sekali gus mencerminkan profil kredit dan kedudukan kewangan kumpulan yang sangat kukuh.
Menurut Pengarah Eksekutif Klanggroup Holdings, Danny Ong pengenalan Program Sukuk Wakalah sulung ini menandakan satu lembaran baharu yang memanifestasikan keyakinan pasaran terhadap asas perniagaan yang dibina syarikat sejak lebih sedekad lalu.
“Selama lebih sedekad, kami telah membangunkan Klanggroup berlandaskan satu keyakinan yang jelas, iaitu pembangunan perindustrian yang terletak di lokasi strategik dan dibina dengan berkualiti mampu mewujudkan nilai berkekalan kepada perniagaan serta komuniti.
“Program Sukuk Wakalah ini menawarkan alternatif pembiayaan yang kukuh dan fleksibel bagi menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, hasil daripada terbitan sukuk berkenaan akan digunakan secara berperingkat bagi membiayai perbelanjaan modal, modal kerja, tujuan korporat am, pembangunan projek, pelaburan, serta peluang pemerolehan aset dan bank tanah pada masa hadapan.
Klanggroup (yang dahulunya dikenali sebagai WorldKlang Group Holdings Sdn Bhd) terkenal dalam sektor pembangunan tanah perindustrian dan kilang untuk perusahaan sederhana serta besar menerusi jenama ikonik Excellent Technology Park dan K International Industrial Park.
Kedudukan strategik projek syarikat di koridor perindustrian utama seperti Klang-Meru serta jaraknya yang hampir dengan Pelabuhan Klang, membolehkan kumpulan mencatatkan kadar jualan produk yang sangat memberangsangkan daripada pembeli kategori pemilik-pengendali perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




