Hassan dakwa Mesir dizalimi

Hassan dakwa Mesir dizalimi

Atlanta: Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan selepas tewas 2-3 kepada juara bertahan, Argentina pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Mesir yang mendahului 2-0 sehingga minit ke-79 akhirnya terlepas peluang mencipta sejarah apabila Argentina bangkit menerusi jaringan Cristian Romero, Lionel Messi dan Enzo Fernandez.

Bagaimanapun, Hassan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil dari Perancis, Francois Letexier, termasuk pembatalan gol kedua Mesir selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) serta kegagalan menyemak satu insiden terjahan dalam kotak penalti pada penghujung perlawanan.

“Saya tidak yakin dengan keputusan ini. Saya juga tidak yakin dengan apa yang berlaku sepanjang perlawanan ini.

“Saya tidak mahu menggunakan ayat yang indah atau sekadar berkata kami tidak bernasib baik.

“Kami tidak dilayan dengan adil hari ini. Kami dizalimi,” katanya.

Hassan turut mendakwa Mesir sebelum ini sudah membantah pelantikan Letexier sebagai pengadil perlawanan kerana latar belakangnya.

Jurulatih berusia 60 tahun itu turut dilayangkan kad kuning pada masa tambahan selepas membantah keputusan pengadil yang enggan merujuk satu lagi insiden kepada VAR.

“Saya hanya berkata ini tidak adil. Mungkin dia menyimpan sesuatu. Sesiapa yang menyembunyikan sesuatu kadang-kadang gagal menutupnya,” katanya.

Hossam turut mengkritik jadual perlawanan yang berlangsung pada jam 12 tengah hari waktu tempatan di Atlanta.

“Saya berani katakan orang yang menjadualkan perlawanan seperti ini tidak pernah bermain bola sepak.

“Pada tengah hari, anda berjalan-jalan atau menikmati makan tengah hari, bukannya bermain bola sepak.

“Bila pemain perlu makan? Adakah mereka perlu bersarapan pada jam 7.30 pagi untuk bermain pada tengah hari?” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat tekanan daripada pihak Argentina terhadap pengadil sebelum perlawanan, selain mempersoalkan kredibiliti penganjuran kejohanan.

“Kami lebih baik daripada juara dunia dalam semua aspek, tetapi keputusan perlawanan dipengaruhi faktor di dalam dan di luar padang.

“Saya bangga dengan pemain-pemain saya, tetapi kami tidak menerima apa yang sepatutnya kami peroleh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top