Ed Sheeran naikkan semangat England

Ed Sheeran naikkan semangat England

Kansas City: Penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran meluangkan masa menghiburkan skuad England di kem latihan mereka di Kansas City sebagai suntikan semangat menjelang aksi suku akhir Piala Dunia.

Persatuan Bolasepak England (FA) memuat naik video di aplikasi rasmi pasukan yang memaparkan penyanyi berusia 35 tahun itu menyampaikan lagu popularnya, Castle on the Hill, kepada pemain dan pegawai pasukan ketika mereka menikmati waktu rehat sebelum aksi dramatik menewaskan Mexico 3-2 pada pusingan 16 terbaik.

Sheeran berkata, lawatannya ke kem England sudah menjadi satu tradisi sejak Kejohanan Euro 2020.

“Pada 2021, Harry (Kane) menjemput saya ke kem pasukan dan saya bertemu semua pemain. Sejak itu saya datang setiap kali ada kejohanan dan ia sesuatu yang menyeronokkan.

“Kali pertama saya membuat persembahan kepada mereka pada 2021, kami terus mempunyai hubungan yang baik. Jadi ia tidak pernah menjadi penonton yang sukar,” katanya.

Penyanyi yang berasal dari Suffolk itu sememangnya peminat tegar bola sepak dan juga pemegang saham kecil kelab Ipswich Town.

Dia juga pernah mengunjungi kem England sebelum aksi suku akhir Euro 2024 menentang Switzerland.

Sheeran yakin skuad kendalian Thomas Tuchel mampu mara sehingga ke pentas final.

“Saya rasa final nanti akan menemukan England dengan Perancis. Apabila sudah sampai ke final, apa sahaja boleh berlaku dan saya percaya kami akan muncul juara,” katanya.

England kembali ke kem latihan di Kansas City pada Isnin dan menggunakan sebahagian besar masa untuk menjalani proses pemulihan sebelum berdepan Norway yang diketuai Erling Haaland pada aksi suku akhir, awal pagi Ahad ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top