Jenazah Khamenei diterbangkan ke Najaf, Iraq

Jenazah Khamenei diterbangkan ke Najaf, Iraq

Najaf, Iraq: Perarakan pengebumian membawa keranda Pemimpin Agung Iran yang terbunuh, Ali Khamenei dijadualkan akan melalui bandar suci Najaf dan Karbala pada Rabu.

Laluan perarakan di kedua-dua bandar suci itu menempatkan beberapa makam yang paling dihormati oleh umat Islam Syiah.

Iran memulakan upacara pengebumian awam selama enam hari untuk Khamenei sejak Sabtu lalu termasuk memperuntukkan satu hari khas untuk acara penghormatan di negara jiran, Iraq.

Iraq ialah sebuah negara majoriti Syiah yang mempunyai hubungan rapat dengan Tehran.

Republik Islam itu berharap upacara besar-besaran berkenaan dapat mempamerkan kekuatan dan perpaduan negara itu selepas konflik di Timur Tengah.

Konflik berkenaan tercetus susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mengorbankan Khamenei serta beberapa ahli keluarganya pada 28 Februari lalu.

Selepas perarakan besar-besaran di bandar suci Qom, pegawai Iraq dan pemimpin politik kanan menyambut ketibaan jenazah Khamenei di Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf pada malam Selasa.

Ketibaan jenazah berkenaan turut disaksikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang hadir bagi mengikuti upacara penghormatan rasmi.

Pihak berkuasa Iraq mengisytiharkan Rabu sebagai hari kelepasan am dengan upacara penghormatan dijadualkan bermula 6 pagi di Najaf.

Ribuan orang dijangka memenuhi bandar Najaf dan Karbala dengan kain rentang sebagai tanda penghormatan terhadap Khamenei menghiasi jalan-jalan utama.

Potret besar pemimpin itu turut dipasang bersama bendera Iran serta gambar beberapa komander lain yang terbunuh daripada pakatan kumpulan sekutu Iran.

Di Karbala, beberapa kain rentang memaparkan ucapan perpisahan seperti “kami mengucapkan selamat jalan kepada kamu” manakala satu lagi memaparkan gambar Khamenei dengan kapsyen, “individu yang memalukan Amerika”.

Upacara pengebumian terakhir Khamenei dijadualkan berlangsung pada Khamis di kampung halamannya di Mashhad, di timur laut Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top