Prestasi Predator Helios 18 AI menyamai desktop kelas permainan

Prestasi Predator Helios 18 AI menyamai desktop kelas permainan

saufi@mediaprima.com.my

Pengeluar komputer riba terkemuka, Acer melalui jenama kelas permainannya, Predator memperkenalkan Predator Helios 18 AI yang tampil menyamai prestasi sebuah desktop kelas permainan.

Peranti baharu ini menawarkan prestasi setanding komputer meja dalam bentuk mudah alih.

Model ini turut memenangi Anugerah Reka Bentuk iF 2026 dan mula diperkenalkan di COMPUTEX sebelum kini rasmi mendarat di pasaran Malaysia.

Predator Helios 18 AI dikuasakan oleh pemproses mudah alih berprestasi tinggi, Intel Core Ultra 9 290HX Plus yang mampu mencapai frekuensi turbo maksimum sehingga 5.5GHz.

Ia turut dipadankan dengan kad grafik Nvidia GeForce RTX 5090 bagi menyokong permainan tahap AAA generasi terkini, esports serta beban kerja kreatif yang menuntut prestasi tinggi.

Bagi aspek paparan, komputer riba ini dilengkapi skrin Mini LED WQUXGA 4K bersaiz 18 inci dengan liputan gamut warna DCI-P3 penuh, kecerahan puncak sehingga 1,000 nit dalam mod HDR, serta kadar segar semula 120Hz yang memastikan pergerakan visual lancar dan responsif untuk permainan kompetitif.

Untuk keperluan pelbagai tugas dan pengembangan masa depan, unit ini turut hadir dengan RAM DDR5 dwisalur sehingga 48GB serta storan, SSD 1TB dengan kemampuan naik taraf sehingga 256GB RAM dan 6TB storan SSD berkelajuan tinggi.

Predator Helios 18 AI menampilkan Kipas AeroBlade 3D generasi keenam yang menggunakan bilah logam sehalus 0.05 millimeter (mm) iaitu antara yang paling nipis di dunia.

Setiap kipas mengandungi 100 bilah ultra nipis dengan reka bentuk adaptif yang melaraskan aliran udara secara automatik mengikut kelajuan RPM, menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyejukan sehingga 20 peratus.

Sistem terma ini turut disokong oleh paip haba vektor dan gris terma logam cecair.

Bagi pengalaman audio, komputer riba ini menggunakan teknologi Predator Vox, sistem enam pembesar suara proprietari yang direka khas untuk audio jarak dekat berkualiti tinggi.

Ciri estetik pula turut ditonjolkan menerusi lampu RGB dinamik yang boleh disesuaikan pada logo penutup, palang lampu MilkyWay, InfiniteRing serta papan kekunci RGB setiap kekunci.

Ia turut menggunakan suis mekanikal Predator MagKey 4.0 dengan pengaktifan magnetik yang boleh disesuaikan.

Menyentuh aspek sambungan rangkaian, komputer riba ini disokong oleh Killer DoubleShot Pro yang menggabungkan Wi-Fi 7 dan port Ethernet E5000B, selain dua port Thunderbolt 5 bagi pemindahan data berkelajuan tinggi.

Predator Helios 18 AI kini boleh didapati di peruncit Acer yang diiktiraf serta Acer eStore dalam dua varian, iaitu model RTX 5090 dengan 48GB RAM pada harga RM19,999 dan model RTX 5080 dengan 36GB RAM pada harga RM17,999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top