am@hmetro.com.my
Alor Setar: Murid lelaki Tahun Lima yang cedera selepas terjatuh dari siling di tingkat tiga sebuah sekolah rendah di Padang Terap semalam dipercayai cuba menangkap burung merpati.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku selepas tamat sesi persekolahan apabila murid terbabit pulang ke rumah sebelum kembali ke sekolah bagi mengikuti kelas kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) sesi petang.
“Pihak sekolah segera mendapatkan bantuan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut.
“JPN Kedah turut memastikan kebajikan murid dan keluarganya terus diberi perhatian termasuk menyediakan sokongan emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian.
“Selain itu, intervensi sokongan emosi turut diberikan kepada murid lain di sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
JPN Kedah turut menegaskan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan, selain pemantauan berterusan akan terus dipertingkatkan.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru kira-kira jam 4 petang yang memaklumkan kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada kemalangan sendiri dan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




