mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bahang Piala Dunia 2026 membabitkan pertemuan dramatik Argentina menentang Mesir bukan sahaja dirasai di pentas antarabangsa, malah turut merebak ke Malaysia apabila satu insiden kekecohan dipercayai berlaku di medan selera berhampiran pusat beli-belah di Bandar Sunway, awal pagi tadi.
Aksi penuh emosi antara juara bertahan, Argentina dan Mesir yang berakhir dengan kebangkitan luar biasa La Albiceleste mencetuskan pelbagai reaksi penyokong di seluruh dunia, termasuk peminat bola sepak tempatan yang mengikuti perlawanan itu secara langsung.
Menurut video yang tular di media sosial, suasana medan selera itu bertukar kecoh apabila beberapa penyokong yang sedang menyaksikan perlawanan berkenaan mula meraikan jaringan kemenangan Argentina sehingga berlaku keadaan tidak terkawal membabitkan pergerakan kerusi di kawasan berkenaan.
Walaupun punca sebenar kejadian belum disahkan, insiden itu dipercayai tercetus susulan aksi mendebarkan Argentina yang bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum melakar kemenangan 3-2 pada saat akhir.
Argentina sebelum itu berada dalam situasi sukar apabila Mesir mendahului menerusi jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Zico, sekali gus meletakkan juara bertahan itu di ambang penyingkiran.
Namun, semangat juang skuad kendalian Lionel Scaloni kembali menyala apabila Cristian Romero merapatkan kedudukan sebelum kapten Argentina, Lionel Messi menyamakan jaringan pada minit ke-83.
Enzo Fernandez kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan Argentina terus memburu kejuaraan dunia kedua berturut turut.
Kebangkitan dramatik itu menyebabkan penyokong Argentina di seluruh dunia tidak dapat menyembunyikan kegembiraan, termasuk komuniti peminat bola sepak di Malaysia yang mengikuti perjalanan Messi dalam kemungkinan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.
Suasana di premis yang menayangkan perlawanan itu dikatakan berubah menjadi lautan emosi apabila penyokong meraikan gol kemenangan Argentina, sebelum kejadian kerusi terbang mencuri perhatian pengguna media sosial.
Argentina mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 dan akan berdepan Switzerland dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




