Had persaraan penjawat awam kekal umur 60 tahun

Had persaraan penjawat awam kekal umur 60 tahun

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan kepada kumpulan kakitangan penjawat awam buat masa ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang diadakan hari ini.

“Kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan buat masa ini. 

“Oleh yang demikian, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun,” katanya ringkas dalam satu kenyataan.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, yang juga merupakan umur persaraan minimum bagi sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Bagaimanapun, kumpulan itu boleh membuat persaraan pilihan lebih awal iaitu pada umur 55, 56 atau 58 tahun dengan kebenaran ketua jabatan masing-masing.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara tua.

Perkara itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK-13 yang menekankan aspek keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk seluruh rakyat. – UTUSAN

 

Scroll to Top