Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan seorang penghantar makanan daripada pertuduhan mengedar 29.2302 kilogram kanabis selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Panel tiga hakim dibarisi Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Sri Latifah Mohd Tahar sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Muhammad Quddus Zahari serta menjatuhi hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Noorin berkata sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan.
Beliau berkata, keterangan menunjukkan Muhammad Quddus bukan satu-satunya individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan kerana tertuduh kedua dan ketiga turut menaiki kenderaan itu bersama-samanya sepanjang perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur.
“Pihak pendakwaan bertanggungjawab untuk menolak sebarang kemungkinan munasabah bahawa individu selain perayu mempunyai akses terhadap ruang but kenderaan itu atau berpeluang meletakkan dadah berkenaan di dalamnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada keterangan menunjukkan hanya Muhammad Quddus mempunyai akses terhadap ruang but kenderaan tempat dadah tersebut ditemukan.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan bahawa perayu mempunyai jagaan dan kawalan ekslusif terhadap dadah itu semata-mata kerana perayu adalah individu yang menyewa kenderaan terbabit serta kunci kereta ditemukan di dalam poketnya semasa perayu ditahan.
Menurut Noorin, pemilikan kunci kereta atau status seseorang selaku penyewa sesebuah kenderaan tidak secara automatik membuktikan bahawa individu berkenaan mempunyai milikan ekslusif terhadap setiap barang yang terdapat di dalam kenderaan itu, lebih-lebih lagi apabila keterangan menunjukkan bahawa kenderaan terbabit telah digunakan bersama-sama oleh dua lagi tertuduh untuk suatu tempoh yang agak lama sebelum penahanan dilakukan.
Muhammad Quddus, 28, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Julai 2024 yang mensabitkannya atas pertuduhan berkenaan dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Bemban Ampang, Off Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 6.45 petang, 19 Ogos 2022.
Dua lagi lelaki pada mulanya didakwa bersama-sama Muhammad Quddus namun Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan mereka pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggil mereka membela diri.
Pada prosiding hari ini, peguam Amrick Singh Sandhu yang mewakili Muhammad Quddus berhujah Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati perayu memiliki dadah terbabit hanya berdasarkan fakta bahawa kunci kereta ditemukan padanya dan kenderaan berkenaan disewa olehnya.
Beliau berkata, keterangan menunjukkan dua lagi individu yang didakwa bersama-sama Muhammad Quddus juga mempunyai akses terhadap ruang but kereta itu.
Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail yang mewakili pihak pendakwaan dalam hujahnya berkata sepanjang pembelaan, Muhammad Quddus tidak pernah mengaitkan tertuduh kedua dan ketiga berhubung dadah yang ditemukan di ruang but kenderaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




