Kediaman mewah jadi transit penyeludupan migran diserbu

Kediaman mewah jadi transit penyeludupan migran diserbu

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan migran dikesan menjadikan kediaman mewah di sekitar Cap Square Centre di sini sebagai rumah transit untuk menyembunyikan warga asing yang diseludup masuk ke negara ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu dua premis berkenaan dalam Operasi Khas yang dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam semalam dan menahan 10 warga Bangladesh, termasuk dua individu yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

Difahamkan, modus operandi sindiket penyeludupan migran itu adalah dengan menjadikan premis berkenaan sebagai penempatan sementara bagi warga asing yang memasuki negara ini melalui pintu masuk tidak sah sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.

Malah, premis itu turut dikawal penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran membabitkan migran yang diseludup selesai.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menjalankan Operasi Khas itu membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama satu bulan, pasukan operasi diatur gerak ke dua premis kediaman mewah dan berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai ‘penjaga premis’.

“Pasukan operasi turut menahan enam lelaki dan dua wanita warga Bangladesh. Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 43 tahun dengan jumlah keseluruhan yang ditahan ialah seramai 10 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (Sektor Pembinaan), manakala dua wanita warga Bangladesh yang ditahan disenarai hitam oleh JIM namun masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.

“Manakala yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi menyita tiga pasport Bangladesh milik individu lain dan wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada kegiatan ini, dengan kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM700 hingga RM1,500 bagi setiap seorang,” katanya.

Zakaria berkata, kegiatan ini dipercayai telah beroperasi beberapa bulan lalu.

“Kedua-dua ‘penjaga premis’ warga Bangladesh ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top