BN sambut baik pelepasan cukai TAR UMT dilanjutkan

BN sambut baik pelepasan cukai TAR UMT dilanjutkan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) menyambut positif keputusan Jemaah Menteri memberi pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan pelanjutan yang sebelum ini disaran Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akhirnya ditunaikan kerajaan.

“Saranan Ka Siong sudah mendapat respons sangat baik daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saranan supaya keputusan lama untuk memberikan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada TAR UMT sudah dipersetujui Jemaah Menteri tadi.

“Ini keputusan muktamad dibuat Jemaah Menteri dan ia juga mendapat sokongan menteri pelbagai parti dalam kerajaan.

“Ini adalah perjuangan MCA (dan) Ka Siong yang sangat jelas dan saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima saranan MCA.

“Di mana MCA parti komponen BN, maka ertinya desakan BN itu sudah dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui media pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri di sini, malam ini.

Turut hadir, calon BN DUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas ini pihak TAR UMT hanya perlu mengemukakan penyata kira-kira tahunan atau akaun beraudit setiap tahun kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, keputusan dibuat kerajaan adalah munasabah bagi menjamin kepentingan penuntut yang mengikuti pengajian di sana.

“TAR UMT tidak ambil hanya orang MCA, TAR UMT ambil juga orang DAP, juga ambil orang UMNO, TAR UMT juga ambil pelajar dari Sabah dan Sarawak, walaupun kolej itu ditaja oleh MCA,” katanya.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, dalam kenyataan petang tadi memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri sudah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai peranan khas universiti itu dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.

Ini termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun selaras dengan keperluan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri dalam program Temu Anwar di kampus TAR UMT mengumumkan bahawa semua badan dan yayasan pendidikan akan menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun, termasuk universiti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top