Ahmad Zahid jamin kerajaan BN Johor akan selari Kerajaan Perpaduan

Ahmad Zahid jamin kerajaan BN Johor akan selari Kerajaan Perpaduan

Barisan Nasional (BN) akan memastikan pentadbiran kerajaan negeri Johor terus bergerak seiring dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sekiranya terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut laporan Utusan, Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi persoalan kerana BN sendiri merupakan sebahagian daripada gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Ingat, BN juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kerajaan Johor juga adalah kerajaan BN dan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Jangan khuatir. Kerajaan BN Johor yang dipimpin Datuk Onn Hafiz sebagai Pengerusi BN negeri dan saya sebagai Pengerusi BN Malaysia akan pastikan kerajaan negeri Johor tetap selari dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Ahmad Zahid jamin kerajaan BN Johor akan selari Kerajaan Perpaduan

Foto arkib: FB Zahid Hamidi

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri, pada Rabu.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, calon-calon BN tidak akan bertindak bertentangan dengan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya akan terus menghormati segala keputusan yang diputuskan di peringkat UMNO dan BN Pusat.

Mengulas dakwaan kononnya kepimpinan BN Johor mengkhianati Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid menegaskan tuduhan itu tidak berasas memandangkan kerajaan negeri telah dibentuk lebih awal berbanding penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Ada pula yang kata BN Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz ini pengkhianat, tak adalah. Kerajaan negeri dibentuk lebih awal berbanding Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat,” ujarnya.

Foto arkib: FB Zahid Hamidi

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kesemua calon BN yang bertanding pada PRN Johor dipilih berdasarkan kebolehan mereka memenangi kerusi masing-masing serta rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik negeri perlu dikekalkan, justeru pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN dibuat bagi memastikan gabungan itu mampu membentuk kerajaan yang kukuh.

“Saya mahu lihat kestabilan politik di Johor dapat dipertahankan dan atas sebab itu UMNO bertanding 37 kerusi DUN manakala MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya memanfaatkan baki tempoh berkempen untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.

Foto arkib: FB Zahid Hamidi

Pada masa sama, Ahmad Zahid menggesa pengundi menilai pencapaian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang tempoh empat tahun tiga bulan menerajui pentadbiran negeri.

Katanya, antara kejayaan yang dicapai ialah pewujudan kira-kira 80,000 peluang pekerjaan untuk anak muda Johor, selain sasaran menyediakan 200,000 lagi peluang pekerjaan baharu bagi penggal akan datang.

“Apa yang tak dilakukan Datuk Onn Hafiz, 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk anak muda seluruh Johor, untuk penggal akan datang beliau janji mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk anak muda negeri Johor.
“Dalam tempoh yang sama, 20,000 rumah kos rendah juga diwujudkan sepanjang menjadi Menteri Besar dan berazam wujudkan lagi banyak rumah,” katanya.

Sumber: Utusan (Mohamad Faizal Hashim)

Scroll to Top