KKM diberi autonomi agihkan perjawatan sektor perubatan

KKM diberi autonomi agihkan perjawatan sektor perubatan

am@hmetro.com.my

Kluang: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan autonomi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pengagihan perjawatan menangani kekurangan pegawai perubatan bertugas di hospital.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, ketika ini JPA telah mengagihkan 11,000 perjawatan berbanding 9,000 yang diperlukan oleh sektor perubatan itu.

Namun begitu katanya, jumlah pegawai bertugas tidak seperti yang ditetapkan memandangkan ada antara mereka sedang bercuti serta melanjutkan pengajian.

“Pada peringkat ini, perbincangan secara aktif dengan pihak KKM sedang dijalankan bagi menentukan keperluan perjawatan yang perlu diisi terutamanya membabitkan jawatan kritikal seperti doktor dan pegawai perubatan.

“Kita di peringkat pusat seperti JPA, kita meluluskan sejumlah perjawatan kepada KKM dan mereka akan membuat pengagihan kepada hospital-hospital berkaitan.

“Masih banyak perkara yang belum selesai berkaitan dengan isu kesihatan dan perkara ini sebenarnya dalam pemakluman kami.

“Jadi perkara ini memang ada perbincangan yang lanjutan antara JPA dan KKM bagi menangani isu penting. Saya percaya ia telah berlaku sekian lama dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI di Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di sini, hari ini.

Seramai 300 penjawat awam daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri hadir pada sesi dialog terbabit.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya berkata, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti akan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Katanya, kerajaan dinilai bukan semata-mata melalui dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.

Beliau menegaskan, setiap penjawat awam memikul amanah untuk memastikan setiap dasar kerajaan diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, telus dan berkesan.

“Harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan telah berubah selaras dengan perkembangan teknologi dan pengalaman mereka berurusan dengan sektor swasta serta platform digital.

“Justeru, rakyat kini mengharapkan urusan yang lebih cepat, lebih mudah, lebih telus dan lebih mesra pelanggan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top