Putrajaya: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan menjalani hukuman penjara 14 bulan yang dijatuhkan terhadapnya selepas gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan menerima rasuah.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Ridhuan Kasah terhadap sabitan serta hukuman terhadapnya bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah turut membenarkan rayuan balas pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Mohd Ridhuan daripada pertuduhan pertama sekali gus mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
Bagaimanapun, Mohd Ridhuan, 48, hanya akan dipenjara selama 14 bulan selepas mahkamah memerintahkan dia menjalani kedua-dua hukuman secara serentak.
Tertuduh juga diarah membayar denda RM20,000 atau menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan, jika gagal berbuat demikian.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Ridhuan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Sebelum ini, dia memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu rayuannya diputuskan.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Noorin berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila melepas dan membebaskan Mohd Ridhuan daripada pertuduhan pertama namun membuat keputusan yang tepat apabila mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi pertuduhan kedua.
Beliau berkata pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang jelas, konsisten serta boleh dipercayai, dan berjaya membuktikan setiap elemen penting dalam pertuduhan pertama.
Menyentuh mengenai pertuduhan kedua, Noorin berkata pembelaan Mohd Ridhuan hanyalah penafian semata-mata dan gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung kesalahan yang telah dibuktikan oleh pendakwaan.
Mohd Ridhuan didakwa atas dua pertuduhan menerima RM1,000 daripada Syed Mohd Firdaus Syed Hussin di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di Pahang sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan pertama pada 5 petang 18 Sept 2020 dan kesalahan kedua pada 12.30 tengah hari, keesokan harinya.
Pada 7 Februari 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkan Mohd Ridhuan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama serta 14 bulan penjara dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Pada 3 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan Mohd Ridhuan daripada pertuduhan pertama namun mengekalkan sabitan dan hukuman bagi kesalahan kedua.
Mohd Ridhuan diwakili peguam Mohammad Hissham Ramdzan, Mohamad Hamizey Mat Taib dan Halimaton Saadiah Abu Samah manakala Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Ezlin Yusof Khan, Dr Ifa Sirrhu Samsudin, Nidzuwan Abd Latip serta Atirah Mohd Azuarizanuddin hadir bagi pihak pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




