Kerajaan lulus 24 jawatan baharu Tok Batin

Kerajaan lulus 24 jawatan baharu Tok Batin

MERSING – Kerajaan meluluskan 24 jawatan baharu tok batin bagi Kampung Orang Asli di seluruh negara sebagai sebahagian usaha memperkukuh kepimpinan akar umbi dan memastikan penyampaian pembangunan kepada komuniti itu dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Tok batin yang merupakan ketua masyarakat dan ketua adat bagi perkampungan Orang Asli berperanan sebagai penghubung antara komuniti itu dengan kerajaan dalam menyelaras keperluan serta pembangunan di peringkat kampung.

“Untuk Orang Asli di Endau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mewartakan beberapa kampung termasuk Kampung Tanjung Tuan, Kampung Tanah Abang, Kampung Peta dan Kampung Labong yang diluluskan jadi Kampung Orang Asli,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa kampung lain masih dalam proses pewartaan yang tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur untuk manfaat komuniti Orang Asli termasuk pembinaan empat sekolah, dewan, jalan raya serta penyediaan bekalan air elektrik dan telekomunikasi.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan akan terus diperkasa melalui pelbagai bentuk inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan kerajaan negeri untuk komuniti Orang Asli,” katanya. – Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top