JOHOR BAHRU – Pengundi Cina dijangka menjadi antara penentu keputusan PRN Johor apabila kadar keluar mengundi (VTO) yang rendah dalam kalangan mereka berpotensi memberi kelebihan kepada BN.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pengundi Cina merupakan kelompok yang pragmatik dan tidak terlalu terikat kepada mana-mana parti politik, sebaliknya membuat pertimbangan berdasarkan kepentingan ekonomi dan perniagaan.
Menurutnya, sikap tersebut menyebabkan sebahagian pengundi Cina akan menilai semula keperluan untuk keluar mengundi kerana banyak dasar utama masih ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pengundi Cina akan menjadi indikator kepada keputusan ataupun kadar keluar mengundi dalam PRN Johor kali ini.
“Jika VTO itu rendah, maka kita boleh memberi gambaran awal ia akan memihak kepada UMNO dan BN kerana pengundi Cina ini pragmatik.
“Mereka akan berkira kenapa perlu keluar mengundi dua kali. Bagi mereka, kerajaan negeri boleh memperkenalkan dasar tertentu tetapi bukan sepenuhnya kerana masih bergantung kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika program Interviu sempena PRN Johor di sini pada Khamis.
Mohammad Tawfik berkata, hasil cerapan bersama kumpulannya dari Segamat hingga Johor Bahru mendapati terdapat dua kelompok utama pengundi Cina pada PRN Johor kali ini, iaitu mereka yang memilih untuk tidak keluar mengundi dan mereka yang kekal menyokong PH.
Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata, tokoh politik dari luar yang turun berkempen pada PRN Johor tidak boleh sewenang-wenangnya membawa pendekatan atau model kempen yang digunakan di negeri lain.
Katanya, ‘pelancong politik’ yang datang perlu faham bahawa landskap politik Johor mempunyai keunikan tersendiri yang lebih sederhana dan matang.
Justeru katanya, pendekatan berkempen perlu disesuaikan dengan budaya politik negeri itu.
“Sebab itu saya gunakan istilah pelancong politik yang datang dalam tempoh berkempen. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berkempen dengan mengikut model negeri-negeri lain.
“Saya faham UMNO dan BN sekarang berada dalam keadaan dilema. Di peringkat Persekutuan, mereka sebahagian daripada kerajaan. Jadi kalau terlebih kata ataupun mengguris perasaan antara satu sama lain dalam kerajaan, ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan hubungan dalam konteks kerjasama politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendekatan kempen BN yang dilihat lebih lembut dan ‘berlapik’ berbanding PH yang lebih agresif.
Menurutnya, kempen PRN Johor turut memperlihatkan kematangan politik yang wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.
“Budaya politik yang terlalu bermusuhan ketika berkempen sepatutnya ditinggalkan kerana ia hanya mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.



