Gavarnie-Gedre: Juara bertahan, Tadej Pogacar mempamerkan kayuhan luar biasa apabila memenangi peringkat keenam Tour de France (TdF) sekali gus kembali merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.
Pelumba Slovenia itu menamatkan saingan sejauh 186 kilometer (km) dari Pau ke Gavarnie-Gedre dengan penuh bergaya, sekali gus melebarkan jurang kepada pencabar utamanya, Jonas Vingegaard dari Denmark yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Selepas enam peringkat, Pogacar kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan dua minit 42 saat (s) mengatasi Vingegaard.
“Hari ini saya bangun seawal jam tujuh pagi dan fikiran saya sudah melayang memikirkan perlumbaan. Saya benar-benar teruja.
“Semua rakan sepasukan juga begitu bersemangat dan saya tahu ini akan menjadi hari yang baik. Kami menyerang habis-habisan tanpa memikirkan risiko. Jika kami meletup, mereka juga akan meletup, tetapi akhirnya kami berjaya,” kata Pogacar.
Kemenangan itu turut menyaksikan juara dunia itu memecahkan rekod pendakian terpantas di Col du Tourmalet selain meraih kemenangan peringkat ke-23 sepanjang kariernya di TdF.
Rakan sepasukannya dari UAE Emirates-XRG, Isaac Del Toro, menewaskan Remco Evenepoel dalam pecutan penamat untuk menduduki tempat ketiga, sekali gus memintas juara Olimpik itu bagi menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan ketinggalan 3:27s.
Pendahulu keseluruhan sebelum ini, Torstein Traeen dari Norway gagal mengekalkan rentak ketika mendaki Tourmalet apabila tercicir daripada kelompok utama dengan kira-kira 50km berbaki sebelum turut terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit.
Pasukan UAE Emirates-XRG mula mengawal perlumbaan sejak pendakian Col d’Aspin sebelum meningkatkan tempo di Tourmalet yang menyaksikan suhu mencecah 40 darjah Celsius.
Pogacar melancarkan serangan kira-kira empat kilometer sebelum puncak Tourmalet dan berjaya meninggalkan semua pencabarnya.
Di puncak, dia sudah memiliki kelebihan 30s ke atas Vingegaard, manakala Paul Seixas, Florian Lipowitz dan Del Toro ketinggalan lebih seminit.
Pada laluan menurun dan pendakian terakhir menuju garisan penamat, Pogacar terus menambah jurang sekali gus hampir menutup peluang pencabar lain untuk mengancam kedudukannya dalam perebutan gelaran keseluruhan tahun ini.
Sementara itu, Ben O’Connor dari Australia sempat meloloskan diri secara solo lebih 100km sebelum penamat, namun percubaannya tidak bertahan lama apabila berjaya dipintas oleh pelumba UAE Emirates-XRG.
Rentak tinggi yang diketuai pasukan Pogacar turut menyingkirkan beberapa pencabar lain termasuk pemakai jersi Raja Bukit, Alex Baudin, Sean Quinn dan Mathias Vacek sebelum serangan terakhir Pogacar memuktamadkan penguasaan juara bertahan itu di Banjaran Pyrenees.
© New Straits Times Press (M) Bhd




