Lelaki maut, ibu dan anak parah dua kereta bertembung

Lelaki maut, ibu dan anak parah dua kereta bertembung

am@hmetro.com.my

Tampin: Lelaki maut manakala seorang wanita dan anaknya yang berusia tujuh tahun parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung di Kilometer (KM) 11 Jalan Jelai-Pasir Besar di sini, pada 4.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, wanita berusia 43 tahun memandu Perodua Axia dan keretanya turut dinaiki anak lelaki, manakala mangsa maut memandu Proton Wira.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu lelaki berumur 38 tahun hilang kawalan ketika melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan serta melanggar hadapan Perodua Axia.

“Ketika itu Perodua Axia dari arah Kampung Ulu Ladang menghala F&N Jelai,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira parah di dada selain alami kecederaan lain dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Sementara pemandu dan penumpang Perodua Axia dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan,” katanya yang memaklumkan mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Sariman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top